KIRA-kira 20 pegawai bank dan empat pegawai kanan Angkatan Tentera Malaysia antara yang akan didakwa dalam masa terdekat selepas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) selesai menjalankan siasatan terhadap kes rasuah berprofil tinggi merangkumi Op Sky dan Op Sohor.
Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki berkata Op Sky, siasatan kes rasuah dan pengubahan wang haram membabitkan syarikat perunding kewangan, manakala Op Sohor siasatan terhadap pegawai dan anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
‘’ Menerusi Op Sky, kira-kira 20 pegawai bank akan didakwa di mahkamah di bawah Akta SPRM 2009 pada hujung bulan ini atau awal Oktober. Kes ini pun telah selesai disiasat dan sudah dikemukakan kepada Timbalan Pendakwa Raya,” katanya pada sidang media di Putrajaya hari ini.
Sidang media itu bertujuan untuk memaklumkan perkembangan kes-kes berprofail tinggi yang disiasat oleh SPRM.
Azam memaklumkan, usaha untuk mendapatkan semula wang lebih RM200 juta sedang digerakkan oleh SPRM di bawah Op Sky dan ada pihak lain bakal dituduh di mahkamah kerana tidak bersetuju untuk membuat pemulihan ini.
MelaluiOp Sky SPRM membekukan 98 akaun syarikat dan individu bernilai RM22.07 juta yang juga siasatan penggubahan wang haram hasil daripada kegiatan rasuah, pemalsuan dokumen dan penipuan untuk mendapatkan kelulusan pembiayaan pinjaman peribadi.
Beliau juga memberitahu, siasatan Op Sohor sudah selesai dengan empat pegawai kanan ATM akan didakwa di mahkamah manakala seorang lagi akan dikemukakan laporan tatatertib kepada Kementerian Pertahanan .
Bagaimana kata Azam, enam orang awam yang ditahan dalam Op Sohor masih lagi dalam penelitian Timbalan Pendakwa Raya sama ada mereka boleh dituduh ataupun tidak..
SPRM sebelum ini melumpuhkan sindiket penyeludupan didalangi pegawai-pegawai kanan ATM yang beroperasi di selatan tanah air melalui Op Sohor. Seramai 11 orang orang termasuk enam pegawai kanan pasukan itu.
Mengulas berkaitan Op DBKL, Azam berkata empat individu ditahan dalam kes berkenaan termasuk seorang pegawai kanan gred jusa B, manakala 16 individu telah dirakam percakapan.
“Siasatan hampir lengkap dijalankan dan kes ini akan dikemukakan dalam tempoh terdekat kepada Timbalan Pendakwa Raya dengan cadangan-cadangan pertuduhan,” katanya.


