Ops Hazard: JAS kompaun 214 premis lakukan jenayah alam sekitar

SEBANYAK 214 kompaun dikeluarkan terhadap premis yang melakukan jenayah alam sekitar menerusi pelaksanaan Ops Hazard 1.0 hingga 3.0 oleh Jabatan Alam Sekitar (JAS), sehingga operasi berkenaan tamat pada 8 April lalu.

Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Datuk Seri Arthur Joseph Kurup berkata, operasi bersepadu yang dilaksanakan secara berfasa di seluruh negara itu menumpukan kepada pematuhan industri terhadap pengurusan buangan terjadual bagi mengelakkan risiko pencemaran alam sekitar.

Menurut beliau, menerusi Ops Hazard 1.0 yang memfokuskan pengesanan punca haram, JAS berjaya membongkar stor simpanan sisa elektronik (e-waste) di kawasan industri terpencil, selain mengenal pasti rantaian pelupusan tanpa permit.

Katanya, sebanyak 17 kompaun bernilai RM34,000 dikeluarkan membabitkan pelbagai kesalahan di bawah Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Buangan Terjadual) 2005 dan Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974, dengan nilai sabitan mencecah RM193,000.

“Bagi Ops Hazard 2.0 pula, sebanyak 69 premis diperiksa dengan 42 kertas siasatan dibuka di bawah akta sama.

“Daripada jumlah itu, sebanyak 75 kompaun bernilai RM150,000 dikeluarkan. Kejayaan ini menunjukkan bahawa JAS bukan sahaja mengejar pelupusan haram di luar tetapi juga memastikan disiplin di dalam kilang diperketatkan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, beliau berkata, Ops Hazard 3.0 yang dilaksanakan secara serentak di beberapa negeri berjaya merampas kira-kira 4,714 metrik tan e-waste bernilai lebih RM23.79 juta.

Operasi itu katanya, membabitkan serbuan ke atas 104 kilang di 11 negeri di seluruh negara, dengan 101 kompaun bernilai RM202,000 dikeluarkan.

“Kejayaan Ops Hazard 3.0 membuktikan ketelusan NRES (Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam) dalam menjaga kedaulatan alam sekitar,” katanya.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada rakan media atas kerjasama dan liputan meluas sepanjang pelaksanaan siri operasi berkenaan.

Mengulas lanjut, Arthur berkata, peranan JAS dalam operasi itu amat penting, terutamanya dalam memperkukuhkan bukti teknikal bagi proses perundangan.

“Sebagai agensi yang bertanggungjawab menyediakan kertas siasatan teknikal, kepakaran JAS memastikan setiap kes pencemaran dapat dinilai dengan adil dan tepat.

“Langkah ini selaras dengan pindaan Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 (Akta 127) yang telah diwartakan, di mana hukuman yang lebih tegas termasuk denda sehingga RM10 juta atau hukuman penjara yang diperuntukkan bagi melindungi kelestarian alam sekitar kita dengan lebih berkesan,” katanya.

Beliau menegaskan bahawa siri Ops Hazard bukan sekadar operasi rutin, sebaliknya menjadi mesej amaran kepada semua pihak.

Katanya, dengan pindaan Akta 127, kerajaan kini mempunyai kuasa perundangan yang lebih kukuh dan berkesan dalam membanteras jenayah alam sekitar.

“NRES komited memastikan Malaysia bebas daripada menjadi tempat pelupusan sisa, selain memastikan setiap sisa domestik diuruskan dengan penuh tanggungjawab.

“JAS akan memperhebatkan operasi penguatkuasaan bagi memastikan tiada ruang buat dalang aktiviti haram alam sekitar menceroboh kedaulatan negara,” katanya.

 

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img