PAS mengecam keras kenyataan yang didakwa dikeluarkan oleh Setiausaha Pertahanan Amerika Syarikat (AS), Pete Hegseth yang mengaitkan Islam sebagai ancaman kepada keamanan dunia.
Parti itu menegaskan sebarang usaha menggambarkan mana-mana agama khususnya Islam yang dianuti lebih 1.9 bilion umat di seluruh dunia, sebagai musuh adalah tindakan berbahaya dan tidak bertanggungjawab.
Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, naratif itu berisiko menimbulkan ketegangan, memperdalamkan salah faham dan menjejaskan usaha global ke arah saling menghormati serta memahami.
Katanya, Islam adalah agama yang diasaskan pada rahmat, keadilan dan keamanan.
“Tindakan mengaitkan Islam secara meluas dengan keganasan adalah tidak tepat dari segi fakta dan bercanggah dengan prinsip dijunjungnya.
“Jadi Pas mengecam keras kenyataan Setiausaha Pertahanan Amerika Syarikat (AS), Pete Hegseth yang mengatakan Islam menimbulkan ancaman kepada keamanan dunia.
“Walaupun pengesahan kenyataan itu sedang dijalankan, ia dilihat sebagai tindakan tidak bertanggungjawab,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sebelum ini, tular dalam media mengenai kenyataan Hegseth bahawa musuh AS adalah Islam tidak kira sama ada Sunni (Ahli Sunnah Wal Jamaah) atau Syiah.
Takiyuddin berkata, menggunakan naratif agama untuk mewajarkan konflik geopolitik, terutama di Asia Barat adalah melulu, terdesak dan menjijikkan.
Katanya, ini kerana ia mencetuskan perpecahan dan membahayakan harapan untuk keamanan serta kestabilan yang berkekalan.
“Justeru Pas menggesa Kerajaan AS dan masyarakat antarabangsa mengesahkan maklumat dengan teliti sebelum membuat kenyataan awam yang boleh menyebabkan kekeliruan atau memburukkan lagi permusuhan sedia ada.
“Adalah penting untuk membezakan antara tindakan ekstremisme dan ajaran Islam atau mana-mana kepercayaan lain supaya tindakan segelintir orang tidak menjadi asas prasangka terhadap orang ramai,” katanya.
Beliau berkata, Pas juga menyarankan diadakan diplomasi, dialog dan kerjasama sebagai laluan paling berkesan untuk memelihara keamanan, memperkukuh hubungan antara agama dan memastikan kestabilan serantau.
“Dalam menjaga keamanan global dan saling menghormati, Pas menekankan sebarang cubaan untuk menjadikan agama sebagai senjata atau mempromosikan Islamofobia mesti ditolak sekeras-kerasnya demi kepentingan kebenaran, keselamatan dan kemanusiaan yang dikongsi bersama.
“Pas akan terus mengikuti perkembangan perkara ini dengan teliti dan menggesa semua pihak bertindak bijaksana dengan keadilan dan bertanggungjawab ketika menangani isu berkaitan akidah dan keselamatan antarabangsa,” katanya.


