Kurangkan kebergantungan bekalan import, Mat Sabu ajak rakyat bercucuk tanam

RAKYAT diseru memanfaatkan ruang di kediaman masing-masing untuk bercucuk tanam sayuran sebagai langkah mengurangkan kebergantungan kepada bekalan import susulan ketidaktentuan geopolitik di Asia Barat.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, konflik geopolitik yang berlaku ketika ini bukan sekadar isu luar negara, sebaliknya ia turut memberi kesan kepada rantaian bekalan makanan global.

Beliau berkata, walaupun impak tidak dirasai secara langsung, kesannya boleh sampai ke meja makan rakyat sekiranya gangguan terhadap rantaian bekalan itu berterusan.

“Sebab itu, Bang Mat hendak ajak semua, kalau ada ruang walaupun kecil di rumah, tanamlah apa yang mampu. Cili, sayur, ulam.

“Sedikit sebanyak boleh bantu kurangkan kebergantungan dan dalam masa sama jadi satu usaha yang bermanfaat untuk keluarga,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook hari ini.

Pada Disember lalu, Mohamad membuktikan ruang tanah terhad bukan halangan untuk bercucuk tanam apabila berjaya memanfaatkan tanah di sekeliling rumah untuk mengusahakan tanaman seperti pandan dan ulam raja.

Beliau berkongsi pelbagai hasil tanaman di sekeliling kediaman yang dinikmatinya selepas kejayaan menternak ikan tilapia dan menanam bawang Rose Ehsan beberapa bulan sebelumnya.

Pada masa yang sama, Mohamad menambah, kerajaan akan terus memperkukuh sistem makanan negara bagi memastikan bekalan mencukupi serta akses kepada rakyat sentiasa terjamin.

“Ini tanggungjawab yang sedang dan akan terus kita laksanakan. Yang penting, kita sama-sama ambil peranan. Mulakan dengan apa yang ada.

“Insya-Allah, usaha kecil hari ini akan jadi kekuatan besar untuk masa depan,” kongsinya lagi.

 

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img