“SAYA tolong orang sebab fardu kifayah,” demikian titah Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Ini kerana apabila terserempak dengan mangsa kemalangan, baginda tidak betah duduk diam dan segera turun dari kenderaan untuk menghulurkan bantuan.
Bukan sekali dua, malah setiap kali terlihat kemalangan ketika di dalam perjalanan, baginda pasti berhenti dan turun untuk membantu mereka yang memerlukan pertolongan pada saat genting itu.
“Tadi saya ada jumpa dengan salah seorang mangsa yang pernah saya bantu, mak atau kakak dia duduk di Bera ini. Nama dia Faris Farhan, nampak sihat tapi tangan dia masih berbalut.
“Saya ingat masa tu saya bantu angkat dia ke dalam kereta polis dan hantar ke hospital. Masa tu dia tunggang motosikal langgar sebuah kereta yang berhenti di tepi jalan, kereta orang Terengganu.
“Jadi bukan hanya Faris saya hantar ke hospital malah pemilik kereta itu pun saya bantu (atur) ke balai polis untuk buat laporan.
“Saya tak tahulah siapa yang salah, siapa yang betul tapi kalau kita jumpa orang kemalangan, minta berhentilah tengok kerana itu adalah fardu kifayah untuk sentiasa membantu orang yang dalam kesusahan,” titah baginda.
Baginda bertitah demikian ketika berkenan mencemar duli berangkat ke Jamuan Hari Raya Aidilfitri Parlimen Bera dan Koperasi Serbausaha Makmur Berhad (KOSMA) yang berlangsung di Dewan Majlis Daerah Bera, semalam.
Titah itu disiarkan menerusi hantaran di Facebook Kesultanan Pahang hari ini.
Sementara itu baginda turut bertitah berkenaan penganjuran dan kehadiran ke rumah terbuka yang seharusnya berlangsung dengan niat yang baik.
“Kalau kita berniat untuk anjur atau hadir ke rumah terbuka untuk meningkatkan ukhuwah dan tidak berkempen memburuk-burukkan orang lain, ia akan menjadi ibadah untuk kita.
“Saya berterima kasih kepada semua pemimpin di setiap peringkat di negeri ini yang telah menjadikan Pahang sebagai sebuah negeri paling harmoni.
“Sebagai raja di negeri ini, keharmonian adalah apa yang saya mahukan dan saya berharap ia dapat terus dikekalkan sampai bila-bila,” titah baginda.


