PAS memberi isyarat tegas kepada Bersatu berhubung konflik politik di Perlis apabila meminta parti di bawah kepimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin itu mengambil tindakan tegas lima Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bersatu yang menandatangan akuan bersumpah sehingga mencetuskan suasana tidak harmoni di negeri itu.
Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, tindakan sedemikian penting sebagai tanda hormat kepada rakan komponen dalam Perikatan Nasional (PN) serta bagi memastikan disiplin dan keutuhan gabungan terus terpelihara.
‘’Tindakan ini berdasarkan kepada perbandingan kepada masalah di Nenggiri sebelum ini. Bersatu ketika itu telah menghentikan keahlian ADUN Nenggiri kerana menyokong PMX sehingga membuka ruang kepada Pilihan Raya Kecil (PRK), sedangkan tindakan berkenaan berlaku tanpa melibatkan SD.
‘’ Berbanding dengan Nenggiri, apa yang berlaku di Perlis jauh lebih serius. Ia memberi kesan langsung kepada keutuhan kerajaan PN,’’ katanya dalam kenyataan malam ini.
Kenyataan Tuan Ibrahim dibuat beberapa jam selepas ADUN Sanglang Mohd Shukri Ramli meletakkan jawatan sebagai Menteri Besar Perlis.
Walaupun Mohd Shukri memberi alasan kesihatan namun ramai mengaitkan dengan tekanan dihadapinya selepas lapan ADUN iaitu tiga daripada Pas dan lima daripada Bersatu dikatakan mahu menarik sokongan terhadap beliau sebagai Menteri Besar.
Pas pula semalam mengumumkan ketiga-tiga ADUN berkenaan ADUN Chuping Saad Seman, ADUN Bintong Fakhrul Anwar Ismail dan ADUN Guar Sanji Ridzuan Hashim tergugur keahlian sebagai ahli Pas kerana terlibat dalam gerakan berkenaan.
Mengulas lanjut, Tuan Ibrahim berkata, sebagai rakan dalam gabungan utama PN, Pas yakin Bersatu akan bertindak secara konsisten dan tegas, selaras dengan semangat Akta Anti Lompat Parti serta prinsip amanah kepada mandat rakyat.
‘’Pas telah mengambil tindakan tegas terhadap tiga orang ADUN PAS kerana parti ini tidak bersedia berkompromi dalam soal disiplin jemaah. Walaupun keputusan ini mungkin membawa risiko terhadap kestabilan kerajaan Perlis, Pas berpandangan bahawa prinsip dan integriti parti mesti diutamakan mengatasi kepentingan jangka pendek,’’ katanya.
Tuan Ibrahim turut menyeru seluruh ahli dan penyokong Pas agar kekal tenang, berdisiplin serta tidak mudah terpengaruh dengan provokasi yang hanya menguntungkan pihak lawan.
‘’Pas sudah melakukan tindakannya demi mendisiplinkan parti, kini saya merasakan Bersatu wajar melakukan perkara yang sama kepada ADUNnya,’’ tegas Tuan Ibrahim.


