SEORANG lelaki yang dikhuatiri lemas selepas terjatuh dalam laut ditemukan di perairan berhampiran Jambatan Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah di Perai malam tadi.
Mangsa yang berusia 31 tahun dilaporkan terjatuh dari Kilometer 4.0 Jambatan Pulau Pinang arah ke Perai kira-kira jam 3.30 pagi semalam.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang, John Sagun Francis berkata, mayat mangsa ditemui selepas pasukan penyelamat menjalankan operasi SAR di tiga sektor kawasan pencarian.
“Operasi mencari dan menyelamat (SAR) diketuai Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) dengan bantuan pelbagai agensi lain termasuk polis, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) serta Pasukan Bomba Sukarela (PBS).
“Sebanyak lima bot digerakkan, iaitu satu bot Maritim Malaysia, dua bot bomba, satu bot APM dan satu bot PBS Bukit Bendera,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut John, sector pencarian meliputi keluasan 2.69 batu nautika persegi menggunakan kaedah pencarian permukaan air (water surface searching).
Kata beliau, mayat mangsa akhirnya ditemukan oleh Pasukan Polis Marin pada jam 8 malam tadi di perairan berhampiran Jambatan Kedua Pulau Pinang sebelum mayatnya dibawa ke jeti Pasukan Polis Marin di Batu Uban.
Beliau berkata, operasi melibatkan 12 anggota termasuk penyelia dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Perai, dengan bantuan BBP Butterworth dan BBP Bagan Jermal menerusi unit Pasukan Penyelamat di Air (PPDA).
Sementara itu, John berkata, pasukan penyelamat masih meneruskan operasi SAR bagi mencari dua lagi mangsa yang terjatuh ke laut dalam kejadian berasingan.
Kes pertama berlaku pada Isnin jam 1.41 petang di Tambatan W3, Dermaga Dalam, Butterworth, manakala kes kedua berlaku di Kilometer 4.0 Jambatan Pulau Pinang menghala ke Perai pada jam 8.22 malam hari yang sama.


