VAR, ‘penalti  memalukan’ bantu  Liverpool tewaskan Inter Milan 1-0

PEMAIN tengah Liverpool, Dominik Szoboszlai menjaringkan gol kemenangan menerusi sepakan penalti selepas VAR memutuskan Florian Wirtz dijatuhkan oleh bintang Inter Milan, Alessandro Bastoni.

Liverpool menewaskan Inter Milan 1-0 hasil penalti lewat permainan oleh Szoboszlai pada Selasa malam, namun keputusan VAR yang menentukan kemenangan itu menerima kritikan hebat. Keputusan untuk menghadiahkan sepakan penalti kepada The Reds digelar sebagai sesuatu yang “memalukan” selepas tiga mata mereka disahkan.

Florian Wirtz tumbang agak mudah apabila Bastoni menarik jersinya dalam kotak penalti. Tiada banyak bantahan mengenai sentuhan pemain Itali itu, tetapi reaksi pemain antarabangsa Jerman tersebut mencetuskan kontroversi.

Permainan pada mulanya diteruskan, namun VAR memanggil semula insiden itu untuk diteliti semula oleh pengadil melalui monitor di tepi padang. Selepas memberikan penjelasan kepada kedua-dua kapten, pengadil menunjuk ke titik penalti dan Szoboszlai menyempurnakan sepakan tersebut untuk menghasilkan gol kemenangan.

Bekas pengurus England, Fabio Capello, terkejut dengan keputusan itu. “Ia penalti yang memalukan,” katanya menerusi Football Italia. “Saya tidak faham mengapa VAR perlu campur tangan ketika pengadil sudah melihat segalanya, termasuk lakonan jelas pemain yang menjatuhkan dirinya.”

Pandangan Capello turut disokong ramai. “Ia penalti yang terlalu lembut!” kata bekas pertahanan Liverpool, Stephen Warnock, kepada Radio 5 Live. “Adakah mereka layak mendapat penalti itu? Mungkin tidak, tetapi penyokong tidak akan peduli.”

Pemain tengah Inter, Henrikh Mkhitaryan, turut meluahkan rasa tidak puas hati kepada Prime Video: “Saya tidak tahu bagaimana mereka boleh memberikan penalti yang sebenarnya tidak wujud, tetapi beginilah bola sepak. Kami tidak gembira. Jika penalti seperti ini diberikan, maka setiap sentuhan dalam kotak akan menjadi penalti.”

Bekas pengadil Mark Clattenburg juga terkejut dengan keputusan tersebut. “Memang berlaku tarikan jersi, tetapi pemain itu terus menjatuhkan diri selepasnya,” katanya.

“Inilah masalah gila dengan VAR. Kita semua, sebagai orang bola sepak, tahu bahawa ini bukan penalti. Namun kerana tarikan jersi dan ulang tayang gerak perlahan, ia akhirnya diberikan.”

Malah bintang Liverpool, Andy Robertson, turut mengakui ia adalah keputusan penalti yang “lemah”, tetapi menegaskan kekasaran seperti itu pasti diberikan jika berlaku di kawasan lain di padang.

Pemain antarabangsa Scotland itu turut kecewa apabila jaringan Ibrahima Konaté dibatalkan kerana terkena tangan pada babak pertama. “Keputusan yang besar,” katanya selepas perlawanan.

“Kami tahu kami datang ke tempat yang sukar, berdepan pasukan yang berada dalam prestasi baik. Kami perlu berjuang dan bertahan. Menjaringkan gol dan mengekalkan clean sheet amat penting.

“Insiden  itu, saya rasa ia mengambil masa tujuh atau lapan minit. Jika begitu, pengadil harus mengekalkan keputusan di atas padang. Penalti itu memang nampak lembut, tetapi ia akan diberikan di mana-mana bahagian lain di padang.

“Kami semua memerlukannya. Kami tahu keputusan dan prestasi sebelum ini tidak cukup baik. Penting untuk kelab ini berada dalam Liga Juara-Juara. Ia keputusan besar untuk kami semua.”

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img