SEORANG pegawai kanan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) mengaku tidak bersalah terhadap tuduhan menerima RM50,000 daripada anak bekas menteri di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, hari ini.
Pengakuan itu dibuat Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Pendaftaran & Perkhidmatan Perniagaan) SSM, Khuzairi Yahaya, 55, di hadapan Hakim Suzana Hussin, lapor Berita Harian.
Berdasarkan kertas pertuduhan, tertuduh sebagai penjawat awam iaitu Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Pendaftaran & Perkhidmatan Perniagaan) SSM menerima untuk diri sendiri suatu benda berharga dengan tiada balasan, iaitu, wang tunai berjumlah RM50,000.
Wang itu diterima daripada Muhammad Faisal Hamzah yang diketahui mempunyai hubungan dengan urusan rasmi di Ibu Pejabat SSM@Sentral, di sini Mei 2018.
Tertuduh didakwa melakukan kesalahan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 165 Kanun Keseksaan (Akta 574) yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Mohamad Fadhly Mohd Zamry mencadangkan jumlah jaminan RM15,000 dikenakan terhadap tertuduh.
Beliau juga mencadangkan mahkamah mengenakan syarat tambahan iaitu pasport hendaklah diserahkan kepada mahkamah dan dia dikehendaki melapor diri di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sekali setiap bulan.
“Mahkamah perlu menimbangkan jumlah dan syarat tambahan yang dicadangkan, kerana ada kemungkinan tertuduh melarikan diri daripada menghadapi mahkamah.
“Justeru, jumlah jaminan yang dicadangkan itu dilihat wajar dan munasabah,” katanya.
Cadangan pendakwaan itu tidak dibantah peguam bela, Muhamad Aizat Fakri yang mewakili tertuduh.
Hakim Suzana kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM15,000 dan menetapkan syarat tambahan seperti yang dicadangkan pihak pendakwaan.
Mahkamah menetapkan sebutan semula kes pada 20 April.


