PASANGAN suami isteri didakwa di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh, hari ini, atas pertuduhan menyalahgunakan Geran Sokongan Sektor Kebudayaan berjumlah RM30,000 bagi penganjuran Program Pesta De San Pedro 2024.
Sara Frederica Santa Maria, 57, dan suaminya, Sikim Gompongan, 60, bagaimanapun mengaku tidak bersalah sebaik dibacakan pertuduhan dan minta dibicarakan di hadapan Hakim, Elesabet Paya Wan.
Berdasarkan kertas pertuduhan, mereka didakwa secara bersama menyalahgunakan harta iaitu wang peruntukan Geran Sokongan Sektor Kebudayaan berjumlah RM30,000 daripada Kementerian Pelancongan, Seni dan Kebudayaan Malaysia (MOTAC).
Perbuatan itu didakwa dilakukan antara 26 Jun 2024 hingga 25 September 2024 di CIMB Bank Berhad Cawangan Taman Melaka Raya, lapor Harian Metro.
Mereka didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan, jika sabit kesalahan, boleh dihukum penjara minimum enam bulan dan maksimum lima tahun serta dengan sebatan, dan juga boleh dikenakan denda.
Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Nur Syakila Yaacob menjalankan pendakwaan manakala kedua-dua tertuduh diwakili peguam Cassian Anthony.
Pendakwaan mencadangkan jaminan RM20,000 bagi setiap tertuduh dengan seorang penjamin masing-masing berserta syarat tambahan melaporkan diri di Pejabat SPRM sebulan sekali dan menyerahkan pasport untuk simpanan mahkamah hingga kes selesai.
Peguam merayu jaminan rendah atas beberapa faktor termasuk anak guamnya menghadapi masalah kesihatan dan memerlukan ubat-ubatan setiap bulan serta hanya bergantung kepada bantuan kewangan daripada anak
Katanya, Sara Frederica menghidap penyakit saraf dan kolestrol, manakala suaminya mempunyai masalah darah tinggi dan penyakit jantung.
“Anak guam saya terbabit aktiviti mengajar kebudayaan dan tarian di Perkampungan Portugis dan agak terkenal dan kerap muncul di televisyen.
Mahkamah kemudian membenarkan kedua-dua tertuduh dilepaskan dengan jaminan RM7,000 setiap seorang berserta syarat dipohon pendakwaan.
Kes ditetapkan untuk sebutan semula pada 16 April depan untuk serahan dokumen.


