Peguam persoal tiada pertuduhan kes dakwaan rompakan kripto RM200,000 babit 12 anggota polis

PEGUAM kepada lapan warga China yang didakwa diugut dan dirompak sebanyak RM200,000 oleh anggota polis, mempersoalkan pengendalian siasatan selepas gagal mendapatkan sebarang perkembangan terkini.

Bercakap kepada New Straits Times (NST), peguam yang hanya mahu dikenali sebagai Charles berkata, beliau masih belum menerima sebarang maklumat terkini daripada polis sejak anak guamnya membuat laporan dua minggu lalu.

Beliau berkata, mangsa sudah dirakam percakapan mereka dan turut mengecam beberapa pegawai yang terbabit dalam rompakan yang didakwa itu melalui kawad cam.

Katanya, beliau akan menulis secara rasmi kepada pegawai penyiasat di Ibu Pejabat Polis Daerah Kajang serta kepada Jabatan Peguam Negara untuk mendapatkan penjelasan mengenai status siasatan.

“Jika itu pun tidak membuahkan hasil, saya mungkin akan merujuk kes ini kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM). Kali terakhir saya dimaklumkan ialah suspek sudah dibebaskan dengan jaminan polis selepas tempoh reman lanjutan mereka tamat. Itu sahaja,” katanya.

Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar mengesahkan kes berkenaan dan berkata, ia disiasat mengikut Seksyen 395 dan 397 Kanun Keseksaan kerana rompakan berkumpulan dan rompakan bersenjata.

“Ya, saya boleh mengesahkan kejadian dan penahanan tersebut. Siasatan sedang dijalankan dari pelbagai sudut,” katanya.

Seramai 12 anggota polis terbabit merangkumi seorang Asisten Superintenden, seorang Inspektor, seorang sarjan, enam koperal, dua lans koperal dan seorang konstabel.

Empat daripada mereka ialah pegawai dari Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman. Mereka ditahan selepas seorang warga China berusia 31 tahun membuat laporan.

Mereka didakwa menyerbu sebuah rumah di Country Heights, Kajang yang disewa oleh lapan warga China pada 5 Februari lalu.

Anggota polis itu menuduh warga China berkenaan menjalankan operasi penipuan, namun pemeriksaan terhadap peranti elektronik mereka tidak menemui sebarang bukti salah laku.

Bagaimanapun, anggota polis berkenaan mengugut untuk menangkap mereka kecuali dibayar RM400,000.

Bimbang akan keselamatan mereka, khususnya kerana terdapat tiga wanita dalam kumpulan itu, salah seorang warga China berkenaan menghubungi majikannya di China untuk mendapatkan bantuan.

Jumlah berkenaan kemudiannya dikurangkan dan pemindahan sebanyak 50,000 unit mata wang kripto Tether (RM200,000) dibuat ke alamat dompet kripto yang diberikan oleh suspek.

Sebelum beredar, suspek didakwa memberi amaran supaya kumpulan itu mengosongkan rumah tersebut dalam tempoh dua hari atau berdepan tindakan lanjut.

Charles dihubungi oleh syarikat dari China untuk membantu kumpulan itu. Beliau kemudian pergi ke rumah berkenaan dan membantu menyediakan laporan polis yang dibuat di Balai Polis Kajang.

Beliau berkata, kumpulan berusia antara 25 hingga 45 tahun itu telah memasuki Malaysia antara 27 Januari hingga 30 Januari. Mereka berada di sini atas jemputan sebuah syarikat tempatan untuk meneroka peluang perniagaan dan menjalankan tinjauan pasaran.

Apabila ditanya mengenai keberadaan mereka kini, Charles berkata semua lapan individu itu telah pulang ke Shandong, China untuk menyambut Tahun Baharu Cina bersama keluarga masing-masing.

“Mereka akan kembali menjelang pertengahan Mac untuk menyambung dan melengkapkan tugasan mereka,” katanya sambil menambah bahawa mereka kekal komited untuk membantu siasatan.

Bagaimanapun, Charles berkata, tiga wanita dalam kumpulan itu sudah berpindah dari rumah di Country Heights atas faktor keselamatan dan mendapatkan penginapan lebih dekat dengan Kedutaan China.

Beliau mempersoalkan mengapa, walaupun penahanan sudah dibuat dan beberapa pegawai dikenal pasti, tiada pertuduhan dikenakan terhadap suspek.

 

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img