KERAJAAN telah melakukan persiapan sejak awal tahun ini bagi memastikan pelaksanaan penyasaran subsidi petrol RON95 yang akan diumumkan Kementerian Kewangan tidak lama lagi berjalan lancar.
Oleh itu Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Armizan Mohd Ali memberi jaminan pelaksanaan penyasaran itu tidak akan membebankan dan tidak akan menyebabkan rakyat beratur panjang.
‘’Pelaksanaan ini akan menggunakan pelbagai mekanisme pembayaran dan bukan bergantung pada penggunaan MyKad fizikal semata-mata,’’ katanya kepada pemberita di Penampang..
Katanya, orang ramai tidak perlu bimbang sekiranya berdepan kesukaran apabila ingin membeli petrol bersubsidi menggunakan MyKad kerana mereka boleh memilih pelbagai mekanisme disediakan untuk mendapatkan subsidi itu.
Beliau berkata antaranya melalui aplikasi yang telah disediakan syarikat minyak seperti Setel dan Shell App yang membolehkan orang ramai menikmati subsidi itu dengan lebih mudah dan cepat.
“Pengguna juga boleh menggunakan kaedah pembayaran di terminal pembayaran di luar atau di dalam stesen minyak untuk membeli petrol bersubsidi itu. Jadi, jangan khuatir, jangan anggap bahawa MyKad (fizikal) hanya satu-satunya kaedah.
“Walaupun semuanya akan disandarkan kepada kelayakan yang ada dalam MyKad, pembelian itu tidaklah hanya bergantung pada satu kaedah semata-mata,” katanya.


