JABATAN Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Pahang merekodkan kejayaan membanggakan apabila merampas pelbagai barangan dagangan yang diseludup ke dalam negara bernilai lebih RM16.09 juta, bermula awal Januari lalu hingga hari ini.
Pengarahnya, Mohd Asri Seman berkata, jumlah cukai yang terlibat hasil rampasan itu juga mencecah RM14.44 juta, sekali gus mencerminkan peningkatan keberkesanan operasi penguatkuasaan jabatan itu.
“Nilai rampasan yang tertinggi pada tahun ini adalah kategori barangan rokok yang berjumlah RM2.39 juta, dengan cukai terlibat dianggarkan mencecah RM13 juta,” katanya dalam sidang media di Wisma Kastam, Indera Mahkota di Kuantan hari ini.
Beliau berkata, dalam tempoh yang sama, sebanyak 49 tangkapan telah dibuat melibatkan 61 individu disyaki, manakala 12 kes telah didakwa di mahkamah.
“Peningkatan nilai rampasan dan cukai terlibat itu menunjukkan JKDM Pahang berjaya mempertingkatkan operasi berbanding tahun 2024, yang hanya mencatatkan nilai rampasan berjumlah RM3.9 juta,” katanya.
Mohd Asri turut memberitahu, pihaknya akan terus proaktif dan tidak berkompromi terhadap mana-mana pihak yang terlibat dalam aktiviti penyeludupan, penghantaran dan pengedaran barangan tidak berkastam.
Mengulas mengenai kejayaan JKDM Pahang dalam empat serbuan di tiga negeri pada 27 November hingga 1 Disember, beliau berkata pihaknya berjaya menumpaskan sindiket pengedaran rokok dan minuman keras tidak berkastam dengan nilai rampasan termasuk duti dan cukai dianggarkan RM3.7 juta.
Beliau berkata rampasan itu melibatkan lebih 4.5 juta batang rokok serta lebih 1,100 liter minuman keras tidak berkastam hasil serbuan di Kedah, Negeri Sembilan dan Selangor.
“Sindiket dipercayai menggunakan premis tidak berpenghuni serta perkhidmatan syarikat penghantaran bagi tujuan penyimpanan dan pengedaran,” katanya sambil menambah kesemua kes masih disiasat di bawah Seksyen 135 (1) (d) Akta Kastam 1967.


