Pemandu lori maut dilanggar kenderaan sendiri akibat lupa tarik brek tangan

SEORANG pemandu lori maut dilanggar lori yang diparkir di hadapan rumahnya akibat terlupa menarik brek tangan di Jalan Delima, Felda Bukit Besar di Kota Tinggi malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 7.30 malam itu, mangsa, Mohd Rizwan Osman, 37, dikatakan cuba menahan lori itu daripada bergerak dalam kejadian selepas waktu berbuka puasa.

ANGGOTA bomba dan penyelamat berusaha mengeluarkan seorang pemandu lori yang maut akibat tersepit apabila lori yang diparkir depan rumahnya tidak ditarik brek tangan di Jalan Delima, Felda Bukit Besar, Kota Tinggi malam tadi. GAMBAR: JBPM Kota Tinggi

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintenden Yusof Othman berkata, pihaknya menerima maklumat daripada orang awam berhubung kemalangan yang membabitkan lori dipandu mangsa iaitu jenis Nissan Rigid Dumper/Tipper muatan satu tan itu pada jam 7.45 malam.

“Lori diparkir di hadapan rumah, tetapi akibat terlupa tarik brek tangan, ia mula bergerak ke depan menyebabkan mangsa cuba untuk menahan bagi memberhentikan kenderaan berat itu.

“Bagaimanapun, mangsa kemudian dilanggar lori terbabit hingga cedera parah di bahagian dalam badan dan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut beliau, mayat mangsa kemudian dihantar ke Unit Forensik Hospital Kota Tinggi (HKT) di sini, bagi tujuan prosedur siasatan.

Katanya, kes ini disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sementara itu, Komander Operasi Pegawai Bomba Kanan I (PBK I) Mohd Norul Fazuddin Shapie dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bandar Tenggara berkata, mereka menerima panggilan kecemasan pada jam 7.42 malam sebelum enam anggota dikejarkan ke lokasi kejadian.

“Setibanya Pasukan Keluaran Operasi (PKO) di lokasi didapati berlaku kemalangan jalan raya membabitkan sebuah lori satu tan telah merempuh seorang lelaki dewasa iaitu pemandu lori yang cuba menahan lorinya sendiri yang sedang bergerak.

“Mangsa telah tersepit di bawah lori dan PKO bertindak membantu pihak KKM (Kementerian Kesihatan) mengeluarkan mangsa daripada bawah lori,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, mangsa yang kemudian disahkan meninggal dunia diserahkan kepada pihak KKM dan polis untuk tindakan selanjutnya sebelum operasi ditamatkan jam 8.18 malam.

 

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img