PEMANDU mabuk yang merempuh penunggang motosikal sehingga maut di Jalan Raya Barat di Klang semalam direman empat hari.
Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Lim Jit Huey berkata, lelaki berkenaan direman bermula hari ini sehingga Khamis.
“Reman dikeluarkan Majistret Siti Zubaidah Mahat. Siasatan lanjut kini sedang dijalankan,” katanya.
Semalam, penunggang motosikal maut dalam kemalangan di Jalan Raya Barat di Klang selepas dirempuh seorang lelaki yang memandu di bawah pengaruh alkohol dan positif dadah.
Lim Jit Huey berkata, siasatan mendapati, kemalangan membabitkan sebuah motosikal dan dua buah kereta kira-kira itu berlaku kira-kira jam 11.40 pagi.
“Siasatan awal mendapati, sebuah kereta jenis Honda City yang dipandu oleh seorang lelaki tempatan berumur 20-an dari arah Jalan Raya Barat menghala ke bandar Klang dipandu dalam keadaan laju dan berbahaya.
“Sebaik tiba di lokasi kejadian, pemandu terbabit dipercayai memotong beberapa kenderaan di hadapannya sebelum memasuki laluan bertentangan dan melanggar motosikal dari arah bertentangan.
“Akibat pelanggaran itu, mangsa seorang lelaki tempatan berumur 30an tercampak ke atas sebuah kereta jenis Perodua Myvi sebelum meninggal dunia di lokasi kejadian,” katanya dalam satu kenyataan semalam.


