SEORANG remaja perempuan maut manakala ibunya parah selepas motosikal dinaiki mereka terbabas dan merempuh penghadang jalan di Jalan Masai Lama, Masai di Johor Bahru pagi ini.
Dalam kejadian jam 10.20 pagi itu, mangsa yang maut adalah penunggang iaitu seorang remaja berusia 20 tahun manakala ibunya yang membonceng berusia 47 tahun.
Ketua Polis Daerah Seri Alam, Asisten Komisioner Mohd Sohaimi Ishak berkata, ketika kejadian kedua-dua beranak itu menaiki motosikal jenis Yamaha Ego Avantiz.
“Semasa kejadian mangsa sedang menunggang melalui lokasi kejadian, tiba-tiba motosikal hilang kawalan lalu terbabas dan melanggar penghadang jalan sebelah kiri,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Berikutan kemalangan itu kata beliau, penunggang remaja mengalami kecederaan parah dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian manakala ibunya parah dan kini dirawat di Zon Merah Hospital Sultan Ismail (HSI).
“Siasatan lanjut masih dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.


