Pembangkang minta kerajaan tak teruskan bacaan kedua RUU had tempoh jawatan PM

AHLI Parlimen Perikatan Nasional (PN) mencadangkan agar kerajaan tidak meneruskan bacaan kali kedua Rang Undang-undang had tempoh jawatan Perdana Menteri kepada agregat 10 tahun.

Sebaliknya kata Ketua Whip Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Takiyuddin Hassan perlu  merujuk kepada Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen untuk penelitian serta pindaan sewajarnya.

Beliau menegaskan pindaan Perlembagaan yang menyentuh kuasa Yang di-Pertuan Agong perlu mendapat persetujuan Majlis Raja-raja (MRR) sebelum boleh diluluskan.

Tegasnya, perkara itu selaras dengan Fasal 159(5) Perlembagaan Persekutuan yang memperuntukkan bahawa sebarang undang-undang diluluskan di bawah Perkara 38(4) tidak boleh dibuat tanpa persetujuan Majlis Raja-raja.

“Perkara 38(4) menyatakan tiada undang-undang yang secara langsung menyentuh keistimewaan, kedudukan, kemuliaan dan kebesaran Raja-raja boleh diluluskan tanpa persetujuan Majlis Raja-raja.

“Perkara yang saya sebutkan tadi adalah perkara yang menyentuh kuasa Yang di-Pertuan Agong, prerogatif Yang di-Pertuan Agong. Ia memerlukan persetujuan Majlis Raja-raja.

“Tanpa persetujuan itu, kami menganggap pindaan ini tidak boleh diluluskan dan jika diluluskan sekali pun, ia tidak sah dari segi undang-undang,” ujarnya dalam sidang media di Parlimen, hari ini.

Ahli Parlimen Kota Bharu itu berkata, pihak pembangkang menzahirkan kebimbangan bahawa rang undang-undang itu boleh dianggap tidak berperlembagaan kerana menghadkan kuasa Yang di-Pertuan Agong.

Beliau menyatakan, Perkara 40 dan Perkara 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan kuasa prerogatif Yang di-Pertuan Agong untuk melantik Perdana Menteri mengikut budi bicara baginda.

“Perkara 43(2)(a) menyebut Yang di-Pertuan Agong hendaklah melantik sebagai Perdana Menteri seorang Ahli Dewan Rakyat yang pada hemat baginda mungkin mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat.

“Tidak ada syarat 10 tahun, 20 tahun atau lima tahun. Dengan membuat pindaan ini, pada pandangan kami ia bercanggah dengan Perkara 40 dan Perkara 43(2)(a) iaitu hak kuasa budi bicara untuk melantik Perdana Menteri sesiapa sahaja asalkan seorang Ahli Dewan Rakyat,” tegas beliau.

Dalam pada itu, beliau berkata sebarang pindaan Perlembagaan perlu disokong tidak kurang dua pertiga ahli Dewan Rakyat pada bacaan kali kedua dan ketiga seperti diperuntukkan dalam Fasal 159(3).

Katanya,  Dewan Rakyat mempunyai 222 ahli dan sekurang-kurangnya 148 Ahli Parlimen perlu menyokong pindaan berkenaan.

‘’Terdapat 10 Ahli Parlimen bukan daripada kumpulan pembangkang sebelum ini menyatakan tidak akan menyokong pindaan itu sekiranya beberapa syarat, termasuk isu semak dan imbang serta akauntabiliti kepada Peguam Negara, tidak dipenuhi.

“Jika mereka ada 148 pun sekarang ini, kalau tolak 10, tidak cukup untuk dua pertiga. Bukan saja tidak mendapat sokongan daripada kumpulan pembangkang, mungkin sokongan daripada bukan kumpulan pembangkang pun kerajaan gagal mendapatkannya,” kata beliau yang juga Setiausaha Agung Pas.

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img