Pemimpin sebenar BRN,  tampil segera ke meja rundingan…jangan jadi pengecut!

Oleh PENULIS KHAS

TIGA wilayah di Selatan Thailand yang penduduknya majoriti Islam bergegar lagi dengan serangan bom pada 31 Ogos lalu sekaligus membuktikan bahawa puak pemisah khususnya Barisan Revolusi Nasional (BRN) tidak mahu wilayah berkenaan aman.

Ketika Thailand sedang berhadapan dengan krisis politik, puak pemisah itu mengambil kesempatan untuk melaksanakan agenda songsang mereka untuk menghuru-harakan Selatan Thailand.

Walaupun difahamkan BRN sudah diingatkan supaya tidak berbuat demikian apatah lagi ada pada tarikh tersebut  Malaysia sedang menyambut kemerdekaan dan perbuatan mereka boleh menjejaskan proses rundingan damai namun mereka tidak peduli.

Kejadian serangan itu membuktikan betapa biadabnya  BRN kerana sanggup melakukan keganasan tanpa sedikit pun ada perasaan untuk menghormati Malaysia yang merupakan fasilitator rundingan damai.

Malah apa yang berlaku juga membuktikan dan mengesahkan bahawa selama ini BRN menghantar mereka yang tidak mempunyai apa-apa kuasa. Mereka sekadar datang ke mesyuarat, seronok dilayan sebagai ‘VVIP’, minum kopi kemudian balik.

Itu sahaja tugas mereka apabila dihantar ke proses rundingan damai yang cukup penting itu. BRN ternyata tidak ikhlas dan memandang remeh proses berkenaan tetapi pada masa sama mahu mengemukakan pelbagai tuntutan terhadap pemerintah Thailand.

Kalau mereka menganggap proses rundingan damai itu penting pastinya mereka akan menghantar pegawai yang benar-benar berkuasa dan layak untuk berunding  tetapi mereka hanya menghantar pemimpin  yang tidak mempunyai apa-apa kuasa.

Sepatutnya BRN menghantar pemimpin sebenar mereka yang berkemampuan mengawal, mengarah dan menghentikan keganasan di Selatan Thailand, tetapi itu tidak berlaku kerana pemimpin BRN tersebut ‘terlalu pengecut’ untuk berhadapan dengan pegawai-pegawai pemerintah Thailand.

Mereka hanya pandai mengarah serangan dilakukan, mereka hanya berani menyuruh orang-orang mereka membunuh insan-insan tidak berdosa di wilayah berkenaan tetapi apabila diminta tampil mengadakan rundingan dengan pemerintah Thailand, mereka menjadi ‘manusia paling penakut di dunia’!

Lebih buruk lagi, mereka selesa berada di luar negara, ‘syok sendiri’ apabila dianggap sebagai pejuang yang kononnya membela nasib penduduk Islam tetapi apabila pemerintah Thailand ajak berunding, mereka ‘hilang’ entah ke mana!

Sememangnya ketika ini Thailand sedang dilanda krisis politik tetapi ia pastinya tidak akan mengubah dasar pemerintah terhadap usaha memulihkan keamanan di Selatan Thailand.

Lagipun itu urusan parti-parti politik di negara itu, ia bukan urusan BRN atau mana-mana puak pemisah. Kalau mereka hendak campur tangan dalam krisis berkenaan, daftarlah  sebagai parti politik dan bertanding dalam pilihan raya.

Tetapi penulis percaya pemimpin BRN tidak ada keberanian sehingga ke tahap itu. Sekarang ni pun mereka hanya pandai bercakap tetapi menjadi penakut untuk berunding.

Apabila rundingan gagal mereka menuding jari menyalahkan pemerintah Thailand sedangkan mereka yang menjadi punca proses tersebut menerima nasib sedemikian.

Oleh itu mengambil semangat perubahan kepemimpinan di Thailand yang akan berlaku berikutan pemecatan Paengtongtarn Shinawatra sebagai Perdana Menteri, pemimpin sebenar BRN perlu membuang sikap ‘penakut’ untuk tampil ke meja rundingan.

‘’BRN perlu segera membuat rombakan drastik dengan menggantikan Ketua Panel dan ahli-ahlinya bukan sahaja datang dari satu wilayah . Malahan mestilah mereka adalah perjuang dari cabang Militer yang biasa berperang dan tahu selok belok konfliks selatan Thailand dan bukannya mereka yang tinggal di luar negara dan pandai cakap sahaja.

‘’Tidak kisahlah kerajaan Thailand sedang menghadapi krisis sehingga pembentukan kerajaan baru apa yang utamanya ialah BRN yang tiada apa-apa kaitan perlu membuat persiapan rapi termasuk penyusunan semula Ketua Panel Rundingan dan Tim sokongan supaya proses rundingan berjalan dan mencapai sedikit kerjayaan berbanding sebelum ini,’’ kata seorang pemerhati.

Pandangan supaya BRN melakukan rombakan terhadap panel perunding adalah tepat sekali kerana sama ada pemerintah Thailand mahupun Malaysia sebagai fasilitator tidak harus membuang masa untuk berunding dengan pemimpin dan anggota panel yang tidak ada apa-apa kuasa.

Walaupun pada masa ini Thailand berada dalam suasana perubahan politik, tetapi yang pasti rundingan damai keamanan wilayah Selatan Thailand akan terus menjadi pendekatan utama bagi kerajaan baru dan akan dilaksanakan di bawah rangka kerja dasar pengurusan dan pembangunan kawasan wilayah sempadan Selatan Thailand.

Untuk rekod, Pada 5 September lalu, Ketua Parti Bhumjaithai, Anutin Charnvirakul dipilih sebagai Perdana Menteri baharu Thailand selepas memperoleh undi majoriti di Parlimen

Rundingan damai bukan perkara kecil. Ia adalah penentu kepada masa depan wilayah Selatan Thailand. Sampai bila BRN hendak membunuh insan tidak berdosa? Sampai bila BRN hendak menghuru-harakan wilayah itu? Sampai bila BRN hendak  menipu penduduk Islam dan dunia bahawa pemerintah Thailand menjajah wilayah berkenaan?

Hentikanlah sikap angkuh tetapi pengecut.  Kirimkanlah pemimpin sebenarnya BRN ke meja rundingan, jangan berdolak dalil lagi!



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img