Pas pun boleh namakan calon PM, bukan Bersatu saja tapi…

SUARA AWANG SELAMAT

Awang sudah agak pemimpin-pemimpin Pas pasti akan ‘berbunyi’ apabila Bersatu menamakan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai calon Perdana Menteri Ke-11 daripada Bersatu jika Perikatan Nasional (PN) menang Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU-16).

 Dari satu segi Awang menganggap  adalah hak Bersatu untuk mencalonkan siapa yang mereka mahukan sebagai calon Perdana Menteri parti itu. Lagipun Muhyiddin pernah menduduki jawatan tersebut dan menunjukkan prestasi baik khususnya ketika menangani krisis Covid-19.

Dari segi lain pula, Awang tertanya-tanya kenapa Bersatu awal sangat mengumumkan calon Perdana Menteri sedangkan PRU-16 pun tak tahu bila lagi. Rasanya kalau umum tahun depan mungkin lebih sesuai tapi perlukah?

Bagaimanapun kalaulah pencalonan itu sekadar bagi pihak Bersatu bukannya PN, boleh sahaja…lagipun itu kan perhimpunan Bersatu bukan Kongres Nasional PN. Kalau  calon Perdana Menteri daripada gabungan itu mesti mendapat sokongan semua komponen dalam PN.

Jadi Awang setuju dengan kenyataan ADUN Bemban, Dr Yadzil Yaakob dan Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad bahawa Pas pun boleh menamakan calon Perdana Menteri daripada Pas.

Malah Awang rasa kalau satu lagi komponen iaitu Gerakan hendak melakukan langkah yang sama, boleh sahaja. Baru seronok tengok ‘pesta calon mencalon’.

Ini kerana parti-parti itu hanya boleh mencalonkan tetapi akhirnya persetujuan semua parti diperlukan sebelum nama dikemukakan kepada Yang di-Pertuan Agong. Kata muktamad di tangan baginda. Oleh itu Awang cadangkan Muktamar Tahunan Pas minggu depan menamakan calon Perdana Menteri mereka.

Mungkin ia boleh meredakan keadaan sebab Awang diberitahu Pas ‘panas satu badan’ bila melihat gelagat Bersatu beria-ia menamakan calon Perdana Menteri parti itu.

Tetapi Awang percaya Pas tidak akan berbuat demikian kerana parti itu sejak awal lagi seperti mana kata Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man ‘’tiada keperluan pada masa ini untuk kita tunjukkan siapa calon Perdana Menteri.’’

Justeru Awang berharap pemimpin Bersatu akan berhati-hati dalam soal calon Perdana Menteri, bukan tidak boleh…boleh…tetapi biarlah sekadar cadangan untuk parti itu sahaja kerana untuk calon PM daripada PN mesti dapat persetujuan semua parti gabungan, tidak boleh main umum macam tu sahaja.

Awang cadangkan kalau benar Bersatu mahu Muhyiddin jadi Perdana Menteri, pastikan parti itu mendapat restu Pas terlebih dahulu. Ini bukan soal ‘’musuh masuk rumah kita’’ tetapi ini soal kesepakatan dalam satu gabungan.

Awang – Tunggu ‘kehangatan’ muktamar Pas



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img