Penagih dadah pecah masuk rumah jurutera ditahan

POLIS menahan seorang lelaki yang memecah masuk rumah milik seorang jurutera di Kampung Batu 4, Paya Pulai di Temerloh, Pahang pada Sabtu lalu.

Suspek berusia 36 tahun ditahan ketika memandu sebuah kenderaan pacuan empat roda Nissan Navara putih hasil maklumat orang awam di tepi jalan Kampung Batu 4, Jalan Maran semalam.

Ketua Polis Daerah Temerloh, Asisten Komisioner Mohd Nasyim Bahron berkata, dalam kejadian Sabtu lalu, suspek dipercayai memecah masuk sebuah rumah dan kejadian itu disedari mangsa sebaik tiba di rumah kira-kira jam 3.30 petang apabila ternampak sebuah kenderaan pacuan empat roda berhenti di hadapan rumahnya.

“Mangsa iaitu seorang jurutera baru pulang dan menyedari seorang lelaki tidak dikenali tiba-tiba berada di ruang tamu rumahnya.

“Dia kemudian cuba menangkap suspek dengan bantuan berberapa orang jiran namun gagal apabila suspek sempat melarikan diri dengan memecut kenderaan Nissan Navara putih,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mohd Nasyim berkata, dua hari kemudian, polis menerima maklumat daripada orang awam mengenai kehadiran suspek di Kampung Batu 4, Jalan Maran dan  sepasukan anggota daripada Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Temerloh bergegas ke lokasi tersebut .

“Polis berjaya menahan suspek bersama kenderaan Nissan Navara putih yang sebelum ini dilaporkan hilang pada 29 November lalu di kawasan Pekan Awah, Maran.

“Suspek yang beralamat di Kampung Padang Lalang, Batu 5, Jalan Maran dan saringan ujian air kencing awal mendapati suspek positif methamphetamine. Semakan polis bagaimanapun mendapati dia tidak mempunyai sebarang rekod jenayah,” ujarnya.

Mohd Nasyim berkata, suspek kini ditahan dan akan dibawa ke Mahkamah Majistret Temerloh hari ini untuk mendapatkan perintah tahanan reman bagi membantu siasatan.

Kes ini kata beliau, disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan iaitu pecah rumah yang memperuntukkan hukuman penjara hingga 14 tahun atau denda, atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

 

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img