PEMAIN-pemain Wolves masuk ke gelanggang dalam keadaan ramai penyokong mereka tidak memasuki stadium sehingga 15 minit perlawanan sebagai protes terhadap pemilikan kelab itu oleh Fosun International.
Keadaan itu bagaikan ‘petanda’ mereka akan mencatatkan kekalahan kali ke-13 dan terus berada di kedudukan paling bawah. Sememangnya ia menjadi kenyataan, Wolves bagaikan ‘serigala luka’ yang begitu mudah dijinakkan oleh Manchester United.

Pasukan pelawat itu menambah derita Wolves dengan kemenangan 4-1 yang menyaksikan Ketua pasukannya, Bruno Fernandes Kembali mendapat sentuhan menjaringkan gol.
Derita Wolver bermula apabila Fernandes mengegarkan gawang Wolves pada minit 25. Bagaimanapun Mbeumo, Cunha dan Amad Diallo masing-masing mensia-siakan peluang untuk menjadikan kedudukan 2-0.
Sebaliknya, Wolves memperoleh gol pertama mereka dalam lebih lapan jam aksi Liga Perdana, dengan Jean Ricner-Bellegarde menyudahkan hantaran David Moller Wolfe pada masa kecederaan babak pertama.
Namun United ‘semakin mengganas’ pada separuh masa kedua, kembali mendahului pada minit ke-51 apabila hantaran Cunha membuka ruang untuk Dalot, dan hantaran lintangnya ditolak masuk ke gawang kosong oleh Mbeumo.
Mason Mount menjadikan kedudukan 3-1 selepas menerima hantaran cip cantik daripada Fernandes pada minit ke-62, dan kapten United itu memperoleh gol keduanya melalui sepakan penalti.
Selepas rembatan Diallo terkena lengan Yerson Mosquera, Fernandes tenang menyempurnakan sepakan untuk melengkapkan kemenangan yang membawa United hanya satu mata di belakang tangga keempat biarpun menduduki tanggan keenam.
Dengan 13 kali kekalahan, hanya dua kali seri dan tidak mencatatkan satupun kemenangan, derita Wolves pasti berpanjangan, walaupun tiada jaminan Manchester United akan terus cemerlang.


