Pendakwa mohon Najib dikenakan penjara maksimum 20 tahun bagi setiap pertuduhan, denda RM11.4 bilion

‘’INI adalah jenayah kleptokrasi pada tahap paling teruk dan pengkhianatan mutlak terhadap amanah kerana tertuduh pernah memegang jawatan sebagai perdana menteri, menteri kewangan dan Pengerusi Lembaga Penasihat 1MDB.’

Demikian hujan Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Ahmad Akram Gharib yang turut  menyifatkan kesalahan menggunakan kedudukan bagi suapan dan pengubahan wang haram dana RM2.3 bilion milik 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang dihadapi Datuk Seri Najib Razak sebagai antara ‘kes jenayah kewangan’ di negara ini.

Sehubungan itu, beliau  memohon Mahkamah Tinggi mengenakan hukuman penjara maksimum ke atas bekas Perdana Menteri dan Menteri Kewangan itu berikutan sabitan terhadap kesemua 25 tuduhan berkenaan.

Beliau  memohon mahkamah menjatuhkan hukuman penjara maksimum 20 tahun bagi setiap pertuduhan dengan hukuman dijalankan berturutan selepas Najib menamatkan tempoh penjara sedia ada di Penjara Kajang berhubung kesalahan penyelewengan dana RM42 juta dana SRC International Sdn Bhd.

Ahmad Akram juga memohon Najib didenda RM11.4 bilion, dikira sebagai lima kali ganda nilai suapan dalam pertuduhan salah guna kuasa, selain hukuman tambahan di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram.

Mahkamah berhenti rehat seketika sebelum Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah menjatuhkan hukuman.

Sebelum itu hakim mendapati Najib  bersalah atas empat pertuduhan menyalahgunakan kedudukannya dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) berjumlah RM2.3 bilion.

Beliau memutuskan bahawa pihak pendakwaan berjaya membuktikan kesemua 25 pertuduhan terhadap Najib melampaui keraguan munasabah, lapor Bernama.

Najib, 72, didakwa atas empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion daripada dana 1MDB melalui cawangan AmIslamic Bank Berhad di Jalan Raja Chulan antara 24 Feb 2011 hingga 19 Dis 2014.

Beliau didakwa di bawah Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta yang sama, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Bagi 21 pertuduhan pengubahan wang haram, Najib didakwa melakukan kesalahan tersebut di bank sama antara 22 Mac 2013 hingga 30 Ogos 2013.

Pertuduhan itu dikemukakan mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001, yang memperuntukkan denda maksimum RM5 juta dan penjara sehingga lima tahun, atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img