YANG di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim bertitah pendekatan berhemah dalam perbelanjaan awam adalah penting bagi memastikan sumber negara diurus secara cekap dan berkesan, terutama dalam menghadapi cabaran ekonomi global yang tidak menentu.
Sultan Ibrahim bertitah demikian selepas berkenan dipersembahkan taklimat mengenai perkembangan semasa ekonomi dan keselamatan negara di Istana Bukit Tunku, Kuala Lumpur.
Seri Paduka Baginda turut berkenan dipersembahkan taklimat kos sara hidup serta langkah-langkah yang diambil kerajaan bagi memastikan pertumbuhan ekonomi kekal mampan.
Selain itu, taklimat turut menyentuh aspek keselamatan negara meliputi keselamatan dalam negeri, kawalan sempadan serta kesiapsiagaan pasukan keselamatan.
Seri Paduka Baginda turut mengambil maklum langkah berjimat yang dilaksanakan kerajaan dalam usaha memperkukuh kedudukan kewangan negara.
Sesi taklimat berkenaan mencerminkan keprihatinan Seri Paduka Baginda terhadap perkembangan semasa negara.
Terdahulu, Sultan Ibrahim berkenan menerima mengadap Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Hadir sama, Ketua Pengarah Keselamatan Negara Datuk Raja Nushirwan Zainal Abidin dan Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Petronas Tan Sri Tengku Muhammad Taufik Tengku Kamadjaja Aziz.


