Penegasan Tunku Mahkota Ismail isu denda FIFA ke atas FAM, penggantungan 7 pemain warisan

*FIFA mungkin hanya ringan hukuman

*Kritikan tidak lemah semangat baginda

*Projek pasukan kebangsaan tidak gagal

PEMANGKU Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail berpendapat Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) berkemungkinan besar tidak akan mengubah hukuman yang dikenakan ke atas Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) serta tujuh pemain warisan Harimau Malaya.

Sebaliknya kata baginda, keputusan tersebut mungkin hanya diringankan, namun tidak dibatalkan sepenuhnya.

“…Namun saya rasa FIFA tak akan tukar keputusan, mungkin hanya ringankan hukuman tersebut. Mereka mungkin akan denda, potong mata Harimau Malaya dan menggantung pemain-pemain terlibat.

“Walau apa pun keputusan nanti, peguam kami tetap akan berusaha mencari jalan penyelesaian terhadap isu ini. Sebab itu FAM masih berjuang hingga ke peringkat ini,” katanya pada sidang media di Subang.

FAM serta tujuh pemain warisan terbabit dikenakan tindakan oleh Jawatankuasa Tatatertib FIFA selepas didapati melanggar Artikel 22 Kod Tatatertib FIFA (FDC) berkaitan pemalsuan dokumen.

Pemain terlibat ialah Joao Figueiredo, Jon Irazabal, Hector Hevel, Gabriel Palmero, Facundo Garces, Rodrigo Holgado dan Imanol Machuca.

FAM turut dikenakan denda kira-kira RM1.8 juta, manakala setiap pemain didenda RM10,560 serta digantung 12 bulan daripada sebarang aktiviti bola sepak.

Badan induk bola sepak negara itu sebelum ini mengakui berlaku kesilapan teknikal oleh kakitangan dalam proses penyerahan dokumen dan menegaskan perkara itu dipandang serius. FAM telah mengemukakan rayuan rasmi kepada FIFA dan keputusan dijangka diumumkan pada 30 Oktober ini.

Tunku Mahkota Ismail turut menjelaskan bahawa kesilapan teknikal ketika proses penghantaran dokumen mungkin menjadi punca utama isu ini timbul, namun menegaskan perkara tersebut melibatkan aspek integriti dan legitimasi yang tidak boleh dipersoalkan dari sudut perlembagaan.

“kesilapan teknikal itu berlaku ketika dokumen dihantar… mungkin sebab itu Setiausaha Agung digantung. Bila sampai soal integriti, kita tak boleh persoalkan kerana dari segi perlembagaan pemain ini sah dari segi undang-undang.

“Pemain tidak tahu apa-apa. Mereka tidak patut terlibat atau digantung tetapi undang-undang tetap undang-undang. Kita perlu hormati proses yang sedang berjalan,” titah baginda lagi.

Tambah baginda, pihaknya akan terus memperjuangkan keadilan buat FAM dan para pemain melalui saluran yang sah.

“Kita akan tetap lakukan rayuan berdasarkan dokumen dan bukti yang kita ada,” katanya.

*Kritikan tidak menjatuhkan semangat saya

Mengenai kritikan yang diterima baginda, Tunku Mahkota Ismail menegaskan bahawa segala kritikan yang dilontarkan segelintir peminat bola sepak tanah air tidak pernah menjatuhkan semangat baginda untuk terus membantu perkembangan bola sepak negara.

“Saya sudah dipersalahkan lama dalam bola sepak, sudah 13 tahun, ia bukan perkara yang baru untuk saya. Saya berasa (kritikan) memang tidak (menjatuhkan semangat), 13 tahun macam-macam saya lalui dalam bola sepak. Tidak pernah sekali pun ia menjatuhkan semangat saya dan saya hanya mahu lihat sukan ini berkembang.

‘’Kalau ia membantu anda untuk tidur lena setiap malam dengan salahkan saya dalam isu (tujuh pemain warisan) ini, saya terima dengan hati terbuka,” katanya.

Baginda menjelaskan bahawa setiap keputusan dan tindakan yang dilakukan sepanjang penglibatan dalam bola sepak adalah hasil pertimbangan yang teliti serta dibuat atas dasar mahu melihat skuad kebangsaan terus maju ke hadapan.

Menurut baginda, baginda tidak mempunyai sebarang kepentingan peribadi dalam isu bola sepak negara, sebaliknya segala tindakan yang diambil hanya bertujuan membantu meningkatkan prestasi skuad Harimau Malaya.

“Saya hanya mahu membantu pasukan negara. Kalau saya hendak ambil kesempatan, saya tidak perlu bersusah payah datang ke setiap perlawanan, berhabis masa dan tenaga,” katanya.

*Projek pasukan kebangsaan tidak gagal sebaliknya ada peningkatan

Baginda juga  menegaskan bahawa projek pasukan kebangsaan tidak gagal selepas terpalit isu dokumentasi tujuh pemain warisan dengan FIFA tersebut.

Sebaliknya, Tunku Mahkota Ismail menjelaskan semua pihak boleh melihat peningkatan yang berjaya ditampilkan skuad Harimau Malaya terutama menerusi struktur yang dibina di bawah kendalian ketua jurulatih, Peter Cklamovski.

“Anda yang panggil ia revolusi, saya tak pernah panggil ia revolusi bola sepak tanah air. Saya rasa ia tidak gagal sebab jika anda cakap mengenai struktur bola sepak, anda boleh lihat struktur bawah Peter.

“Pemain tidak keliru, mereka tahu bagaimana nak main dan dari segi taktikal serta teknikal, saya lihat ada peningkatan. Bagi saya, saya akan berjuang untuk pemain sebab mereka adalah rakyat Malaysia dan mereka berhak mewakili negara,” katanya.

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img