Selepas anak lelaki meninggal dunia, pasangan Mohd Fikry-Sabrina dikurnia bayi kembar tiga

SELEPAS kehilangan anak lelaki berusia lapan bulan yang ditunggu-tunggu selama 13 tahun, kesedihan pasangan Sabrina Hakiem Zaini dan Mejar Ir Ts Mohd Fikry Amri Abd Halim terubat apabila menyambut kelahiran bayi kembar tiga semalam.

Pasangan itu dikurniakan tiga cahaya mata perempuan menerusi rawatan kesuburan in-vitro (IVF) tajaan Yayasan Fertiliti Tunku Azizah (TAFF) yang diasaskan Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Tunku Azizah turut menzahirkan ucapan tahniah atas kelahiran tiga bayi kembar berkenaan menerusi akaun Facebook rasmi Kesultanan Pahang hari ini.

Baginda menzahirkan rasa syukur dan gembira di atas kelahiran Maryam Al Lubna, jam 9.40 pagi, Maryam Al Khawla, 9.42 pagi dan Maryam Al Arwaa (9.46 pagi) di Hospital Melaka, semalam.

“Ketiga-tiga bayi berkenaan adalah bayi ke-145, 146 dan 147 yang dilahirkan sejak TAFF ditubuhkan pada 2004.

“Paduka Baginda berdua mendoakan agar ketiga-ketiga bayi ini membesar dengan baik dan sihat serta sentiasa dilimpahi kasih sayang daripada ibu bapa serta insan di sekeliling mereka,” kata kenyataan itu.

September tahun lalu, Muhammad Al Fateh Amri Mohd Fikry Amri meninggal dunia ketika berada dalam jagaan pengasuh di sebuah taman asuhan kanak-kanak (Taska) di Taman Kelemak Utama, Alor Gajah, Melaka.

TAFF yang ditubuhkan atas inisiatif Tunku Azizah sejak 21 tahun lalu sudah menaja 553 pasangan suami isteri seluruh negara yang menghadapi kesukaran untuk mendapatkan cahaya mata.

Sementara itu, bapa kepada tiga bayi berkenaan, Mohd Fikry menerusi hantaran di Facebook merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Sultan Pahang dan Tengku Ampuan Pahang atas kurniaan tajaan rawatan IVF serta sokongan moral berterusan.

“Alhamdulillah syukur ke hadrat Allah SWT. Patik berdua menjunjung kasih Tuanku diatas kurniaan tajaan IVF dan sokongan moral, jutaan terima kasih juga diucapkan kepada semua yang telah mendoakan untuk kesejahteraan kami,” katanya.

Mohd Fikry turut mengenang dan meluahkan rasa rindu terhadap anak sulungnya, Muhammad Al Fateh Amri.

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img