SEORANG penghantar barang dihukum penjara empat bulan oleh Mahkamah Majistret, Ayer Keroh selepas mengaku bersalah terhadap dua tuduhan mencederakan isterinya yang sedang hamil, 15 Mac lalu.
Tertuduh, Muhammad Aidil Azahar Rahmat, 22, membuat pengakuan itu di hadapan Majistret Nur Afiqah Radhiah Zainurin.
Mengikut pertuduhan pertama, dia didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap isterinya, Nur Azhiimah Abd Razak, 20, dengan menumbuk belakang kepala mangsa, lapor BuletinTV3.
Manakala pertuduhan kedua, dia didakwa melakukan kesalahan sama iaitu dengan cara menampar muka, memukul kepala dan menolak isterinya sehingga jatuh.
Perbuatan itu dilakukan pada pukul 3.59 pagi dan 4.06 pagi masing-masing di kaki lima serta dalam premis di Kompleks Perniagaan Kota Syahbandar 1, Jalan KPKS 4, pada 15 Mac lalu.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dibacakan bersama Seksyen 326A akta sama, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun, denda RM2,000, atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman penjara empat bulan bagi setiap pertuduhan bermula serentak dari tarikh ditangkap 19 Mac lalu.
Pegawai Pendakwa, Inspektor Nur Zaidah Muhamad Zailani, memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal terhadap tertuduh.
“Sebagai suami sepatutnya tertuduh lindungi mangsa. Pohon hukuman setimpal dikenakan mengambil kira kecederaan dialami mangsa yang sedang mengandung anak tertuduh,” katanya.
Mengikut fakta kes, kejadian serangan itu dirakam kamera litar tertutup (CCTV) premis terbabit dan laporan polis dibuat oleh ibu mangsa (pengadu) selepas melihat rakaman itu.
Berdasarkan rakaman CCTV berkenaan, tertuduh didapati memukul, melempang, menarik rambut dan melanggar kepala mangsa yang sedang terbaring dengan motosikal di hadapan premis itu.
Mangsa dirawat di Hospital Melaka akibat serangan itu dan disahkan mengalami kecederaan tisu lembut pada bahagian kepala dan pipi kanan akibat serangan itu.


