Penyelarasan BUDI95 daripada 300 liter sebulan kepada 200 liter mulai 1 April ini.

KERAJAAN  akan membuat penyelarasan kelayakan BUDI95 daripada 300 liter sebulan kepada 200 liter sebulan bermula 1 April ini.

Ketika mengumumkan perkara ini, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, langkah itu sementara menunggu keadaan minyak, bekalan minyak dan ekonomi dunia pulih.

‘’Tetapi belum ada tanda-tanda ke arah itu. Maka untuk meringankan beban rakyat, saya tegaskan BUDI95 kekal pada RM1.99 seliter,’’ katanya dalam perutusan khas hari ini.

Anwar berkata,  semua negara, lebih-lebihnya negara jiran, menaikkan harga minyak, tapi Malaysia mengambil keputusan untuk mengekalkan harga minyak BUDI95 pada kadar RM1.99. 

‘’Alhamdulillah. Dan kita tahu juga bahawa ini telah memberikan banyak manfaat kepada rakyat dan kita juga terpaksa mengambil beberapa langkah tambahan. Oleh itu, kita meneliti apakah penggunaan BUDI95 ini mencukupi.

”Kita dapati, purata penggunaan BUDI9 adalah sekitar 100 liter, maknanya majoriti rakyat guna hanya 100 liter sebulan, dan hampir 90% rakyat menggunakan kurang dari 200 liter sebulan, maka tidak terjejas,’’ katanya.

Bagaimanapun dalam perutusan khas itu, Anwar berkata, had siling bagi e-hailing dikekalkan  sehingga 800 liter mengambil kira tanggungjawab , pekerjaan dan urusan yang mereka harus lakukan.

Beliau berkata, akibat  sekatan di Selat Hormuz, peperangan, bekalan minyak dan gas yang terhenti semuanya memberi kesan kepada Malaysia.

‘’Apakah kita boleh biarkan keadaan tanpa apa-apa tindakan dan memikirkan kita ini terlepas daripada semua permasalahan?. Bekalan makanan terjejas, harga tentunya akan meningkat.

”Baja juga begitu, tentunya minyak dan gas. Jadi, ada langkah-langkah yang perlu kita ambil.  Ada negara-negara yang jauh lebih parah kesannya dari kita, tetapi ini tidak bermakna kita terlepas semuanya sekali,’’ katanya.

Atas sebab itulah kata Perdana Menteri, beliau mengambil  pendekatan yang lebih terangkum bagi menjamin bekalan dan pada masa yang sama mengurus supaya permintaan itu lebih berhemat dan waspada.

Sehubungan itu beliau memohon kerjasama rakyat  supaya memahami langkah  yang  diambil dan terpaksa ambil.

‘’Ini kerana tekanan yang kita hadapi dan saya percaya ada yang akan membuat pelbagai tohaman dan tafsiran yang tak boleh kita elak. Tapi percayalah, saya tidak  mahu rakyat merasa tertekan dan langkah-langkah kita itu sangat teliti dan berhemah,’’ katanya.

Anwar juga mengumumkan bagi Sabah Sarawak, kedua-dua negeri itu  akan terus menikmati diesel subsidi pada kadar RM2.15 seliter, walaupun harga diesel telah melambung naik. 

‘’Maknanya, bila perbezaan harga ini membengkak, kita harus waspada dan mengambil tindakan pengawalan yang lebih rapi, penguatkuasaan yang lebih berkesan. Tetapi memandangkan keadaan geografi dan logistik Sabah Sarawak, kita mengambil keputusan yang saya fikir munasabah pada peringkat ini. Tetapi ketirisan harus dikekang dan dikawal,’’ katanya.

Sehubungan itu kata Perdana  Menteri, kerajaan akan mula menghadkan pengisian untuk ketika ini seperti berikut:

• Kenderaan ringan pengangkutan darat awam, barangan dan persendirian maksimum 50 liter setiap pembelian.  Barangan tidak melebih 3 tan, maksimum 100 liter setiap pembelian;

• kenderaan melebihi 3 tan, maksimum 150 liter setiap pembelian.

‘’Ini untuk menjamin dan memastikan agar bekalan ada, dapat diagihkan secara adil dan mencukupi kepada semua. Tanpa penyesuaian ini, kita bimbang ada kecenderungan untuk mengumpul dan menyeludup sepertimana telah dikesan selama ini.

”Jadi saya mohon rakyat, rakan-rakan memahami langkah ini terpaksa untuk menjaga kepentingan ramai. Ia tidak mudah, mungkin sedikit menyusahkan sebahagian rakyat. Saya mohon pengertian dan kerjasama supaya dapat kita teruskan kerja untuk mengelak daripada ketirisan ini,’’ katanya.

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img