ANGGOTA penguat kuasa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) kini menggunakan kamera badan (Body Worn Camera – BWC) ketika menjalankan kawalan di kawasan bazar Ramadan dan bazar Syawal bagi meningkatkan tahap keselamatan serta ketelusan dalam pelaksanaan tugas.
DBKL dalam satu kenyataan memaklumkan, penggunaan peranti tersebut bertujuan memastikan setiap tindakan penguatkuasaan dilaksanakan secara profesional, telus dan berintegriti.
Menurut kenyataan itu, langkah berkenaan juga dapat melindungi keselamatan pegawai penguat kuasa serta orang awam ketika operasi dijalankan.
“Rakaman tersebut juga dapat dijadikan bukti sekiranya berlaku insiden, sekali gus membantu mengurangkan sebarang pertikaian ketika proses penguatkuasaan dijalankan.
“BWC akan digunakan dalam beberapa situasi seperti semasa rondaan di kawasan bazar, semasa pemeriksaan lesen peniaga, ketika berinteraksi dengan orang awam dan semasa tindakan penguatkuasaan dijalankan,” katanya.
DBKL turut menegaskan pihaknya komited memastikan setiap tindakan penguatkuasaan dilaksanakan secara telus, profesional dan berhemah demi kesejahteraan warga kota.


