PENGUSAHA perniagaan kereta sewa dipenjara sehari dan denda RM50,000 selepas mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen Shah Alam, hari ini atas tuduhan memperdaya seorang lelaki untuk memindahkan wang ke akaun miliknya empat tahun lalu.
Tertuduh Mohd Shuib Bahari, 42, membuat pengakuan itu sebaik kertas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Datuk Mohd Nasir Nordin, lapor Harian Metro.
Tertuduh didakwa secara tidak jujur memperdayakan Muslim Ismail dengan mendorongnya membuat pindahan wang RM40,100 ke akaun Maybank miliknya sebagai bayaran sewaan bagi Tadika Al-Faqeh di Dewan Belia 4B, Kampung Melayu Sungai Buloh, sedangkan perkara itu tidak benar.
Kesalahan didakwa dilakukan antara Januari 2020 dan Disember 2022 di Kampung Melayu Sungai Buloh, Selangor.
Dia didakwa mengikut Seksyen 415(b) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara atau denda atau kedua-duanya sekali kepada pelaku yang didapati bersalah.
Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Mohd Alimi Mustapha, manakala tertuduh diwakili peguam, Muhammad Zarif Othman.
Mahkamah menjatuhkan hukuman penjara sehari dan denda RM50,000 atau penjara selama 15 bulan sekiranya gagal membayar denda sebaik tertuduh mengaku bersalah.


