BAYANGKAN dengan hanya menjual air ketum pada harga RM10 sebungkus, seorang lelaki mampu meraih pendapatan sehingga mencecah RM1,000 setiap hari.
Jika 100 bungkus mampu dijual kepada pelanggan sehari, dia mampu mendapat keuntungan sebanyak RM1,000, cukup lumayan dengan hanya bermodalkan daun ketum dan memperosesnya sendiri secara sembunyi.
Bagaimanapun, aktiviti lelaki berkenaan yang berusia 30 tahun terbongkar selepas dia ditahan dalam serbuan Ops Hawks di sebuah premis di kawasan Kampung Peragap, Kerdau, Temerloh semalam.
Ketua Polis Daerah Temerloh, Asisten Komisioner Mohd Nasyim Bahron berkata, dalam serbuan kira-kira jam 1 pagi itu, polis menemukan dan merampas sejumlah bungkusan air ketum yang siap untuk diedarkan.
“Hasil soal siasat, suspek mengaku bekalan air ketum tersebut diproses sendiri dan untuk diedarkan kepada ‘pengguna’ di sekitar kawasan itu,” katanya dalam kenyataan hari ini, lapor Sinar Harian.
Mohd Nasyim berkata, kes ini disiasat di bawah Seksyen 30(3) Akta Racun 1952 dan Seksyen 15(1)(a)Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.


