SEORANG penunggang motosikal lelaki maut, manakala seorang lagi cedera akibat dihempap pokok tumbang di Jalan Stadium berhampiran Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Alor Setar, Kedah hari ini.
Mangsa, Ahmad Farazi Kasim, 51, yang menunggang sebuah motosikal disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Seorang lagi penunggang berusia lingkungan 20-an yang menunggang sebuah lagi motosikal terselamat dan hanya mengalami cedera ringan.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Alor Setar, Timbalan Penguasa Bomba I Ismail Mohd Zain berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu jam 1.15 petang.
Beliau berkata, sepasukan anggota dari BBP Alor Setar diketuai Pegawai Bomba Kanan (PBK) I Mohd Radzi Abdul Talib tiba di lokasi sejurus menerima panggilan.
“Komander Operasi melaporkan kejadian itu membabitkan dua motosikal yang melalui kawasan berkenaan ketika pokok tumbang.
“Mangsa yang meninggal dunia diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut,” katanya.
Ismail berkata, Komander Operasi melaporkan, kerja pembersihan di jalan raya dilakukan di lokasi kejadian dan operasi tamat jam 1.53 petang.
Sementara itu, polis petang ini memaklumkan penunggang motosikal yang maut dalam kejadian itu dipercayai dalam perjalanan menjemput isterinya di pejabat.
Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Syed Basri Syed Ali, berkata, Ahmad Farazi ketika kejadian menunggang motosikal seorang diri menuju tempat isterinya bekerja di pejabat Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) di Jalan Stadium, Alor Setar.
“Mangsa yang maut bekerja sebagai pemandu di Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) keluar untuk mengambil isteri di tempat kerja.
“Seorang lagi mangsa yang juga penunggang motosikal, Muhammad Adib Uzaid, 36, cedera ringan di lutut dan dirawat di Zon Kuning Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Alor Setar,” katanya.
Syed Basri berkata, siasatan mendapati tiada sebarang unsur jenayah dikesan dan mayat dihantar ke Jabatan Forensik HSB untuk tindakan lanjut.


