SEORANG penunggang motosikal yang melawan arus sempat `berehat’ di atas bonet sebuah kereta selepas terbabit kemalangan di Jalan Masai Lama, Pasir Gudang kelmarin.
Rakaman papan pemuka kereta berdurasi 31 saat itu kini tular memaparkan aksi penunggang motosikal berbaring dalam keadaan mengiring tanpa membuka mata seakan tidur atas bonet kereta berkenaan selepas kemalangan.
Ketua Polis Daerah Seri Alam, Asisten Komisioner Mohd Sohaimi Ishak berkata, kemalangan berlaku kira-kira jam 10.30 malam membabitkan motosikal Honda Wave ditunggangi lelaki warga asing berusia 22 tahun dengan kereta Volkswagen GTI dipandu seorang lelaki tempatan berusia 29 tahun.
“Semasa kejadian kereta itu yang berada di lorong kanan sedang dalam perjalanan dari arah Jalan Permas Jaya menghala ke Taman Desa Jaya.
“Sebaik sampai di lokasi kemalangan, tiba-tiba muncul sebuah motosikal dari arah bertentangan secara melawan arus sehingga berlaku pertembungan antara dua kenderaan itu,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Mohd Sohaimi, berikutan kemalangan itu, penunggang terbabit mengalami kecederaan dan dibawa ke Hospital Sultan Ismail (HSI) untuk rawatan manakala pemandu kereta tidak cedera.
Kes ini katanya disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan 1987.


