POLIS menahan enam lelaki bagi membantu siasatan kejadian rusuhan membabitkan sekumpulan lelaki dipercayai berpunca daripada rasa tidak puas hati dalam pemilihan lagu di sebuah pusat hiburan di kawasan Melaka Raya, bandar raya Melaka awal pagi ini.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, kesemua suspek yang berusia lingkungan 20-an hingga 40-an itu ditahan selepas polis menerima laporan berkaitan kejadian kira-kira jam 4 pagi tadi.
“Siasatan awal mendapati kejadian berpunca daripada provokasi dan salah faham melibatkan empat individu, sebelum kekecohan itu menarik perhatian orang awam yang berada di lokasi sehingga berlakunya rusuhan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau memberitahu, polis turut merampas sepucuk pistol disyaki tiruan daripada seorang lelaki yang ditahan dan telah merekodkan keterangan daripada 12 saksi untuk membantu siasatan kes itu.
Christopher turut mengesahkan tiada sebarang bunyi letupan senjata sewaktu kejadian itu berlaku, sekali gus menyangkal dakwaan yang tular menerusi media sosial kononnya berlakunya tembakan serta penemuan dua kelongsong peluru di tempat kejadian.
Beliau berkata, hasil siasatan lanjut mendapati kejadian itu disebabkan rasa tidak puas hati terhadap pemilihan lagu sewaktu sedang berhibur.
“Kes ini disiasat di bawah Seksyen 36 Akta Senjata 1960 serta Seksyen 506 dan Seksyen 147 Kanun Keseksaan,” katanya sambil menasihatkan orang awam supaya tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan maklumat tidak sah kerana boleh menimbulkan kegusaran dalam kalangan masyarakat.


