Penuntut UTHM cedera disondol babi hutan di Durian Tunggal

SEORANG penuntut Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)  cedera di mulut, termasuk beberapa batang gigi patah serta gusi koyak akibat disondol babi hutan ketika menunggang motosikal di Padang Keladi di Durian Tunggal, Alor Gajah, Melaka malam tadi.

Mangsa yang berusia 19 tahun ketika itu menunggang motosikal untuk pulang ke kampus pengajiannya di Pagoh, Johor sebelum terlibat dalam kemalangan itu.

Abang ipar mangsa yang hanya mahu dikenali sebagai Ahra Abba berkata, kejadian berlaku ketika adik iparnya dalam perjalanan dari rumah keluarga mereka di Kampung Pulau, Durian Tunggal menuju ke kampus bagi mengikuti pengajian dalam bidang mutawif.

“Adik ipar saya disondol babi hutan malam tadi di hadapan kawasan Go Kart Padang Keladi.

“Difahamkan kawasan itu memang sudah beberapa kali berlaku kemalangan kerana gelap dan tidak mempunyai lampu jalan,” katanya menerusi hantaran dalam laman sosial Facebook hari ini yang turut menyertakan gambar kejadian.

Menurut Ahra Abba, adik iparnya kini dirawat di Hospital Melaka dan masih trauma akibat kejadian itu.

Dia turut berharap pihak berwajib mengambil perhatian serius terhadap isu berkenaan bagi mengelakkan kejadian sama berulang atau mengorbankan nyawa orang lain.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintenden Ahmad Abu Bakar memaklumkan pihaknya belum menerima sebarang laporan berhubung kejadian berkenaan.

Dalam perkembangan sama, Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Melaka, Petra Sulai berkata, pihaknya akan menyiasat kejadian itu.

 

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img