Wanita jadi mangsa penipuan skim pelaburan tidak wujud, kerugian RM166,000

SEORANG pekerja kilang wanita kerugian sebanyak RM166,000 selepas diperdaya sindiket skim pelaburan tidak wujud dalam talian, baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Superintenden Sharudin Abdul Wahab berkata, mangsa yang berusia 43 tahun telah berkenalan dengan seorang lelaki menerusi laman sosial Litmatch pada Khamis lalu.

Menurut beliau, kenalan baharunya itu kemudian memujuk mangsa untuk menyertai skim pelaburan UOA Group Building Excellence yang didakwa mampu memberi pulangan cepat dengan kadar keuntungan yang tinggi.

“Mangsa yang terpengaruh dengan janji manis suspek, bertindak menjual barang kemas, harta pusaka serta mengeluarkan wang simpanan untuk dijadikan sebagai modal pelaburan.

“Wanita itu juga kemudian membuat sebanyak 16 transaksi berjumlah RM166,000 ke beberapa akaun bank berbeza seperti diarahkan suspek untuk tujuan pelaburan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sharudin berkata, mangsa bagaimanapun menyedari ditipu apabila suspek enggan memulangkan kembali modal pelaburan berserta keuntungan dijanjikan dengan pelbagai alasan.

Berikutan itu, mangsa membuat laporan polis semalam selepas usaha menghubungi suspek gagal.

“Kes ini disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan. Justeru, pihak polis ingin mengingatkan orang ramai supaya mendapatkan maklumat sahih daripada sumber rasmi atau membuat semakan melalui portal Semakmule atau talian 997 NSRC (Pusat Respons Penipuan Kebangsaan) bagi mengelak ditipu,” katanya.

 

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img