TITAH Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim yang menzahirkan kekecewaan berhubung dakwaan skandal rasuah melibatkan pegawai atasan tentera merupakan teguran penting kepada seluruh warga angkatan tentera.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, penyalahgunaan kuasa, penyelewengan dan rasuah seharusnya tidak berlaku dalam institusi yang memikul amanah besar dan kepercayaan rakyat.
“Kita akan pastikan ia jadi pegangan serta tidak berlaku lagi sebagaimana yang dilalui dalam tahun lepas dan juga tahun ini,” katanya pada sidang media selepas merasmikan SASaR Residensi Sateria di Sungai Besi, Kuala Lumpur hari ini.
Sultan Ibrahim hari ini menzahirkan ketegasan untuk membanteras rasuah secara menyeluruh, sambil menyatakan kekecewaan kes rasuah yang berlaku dalam Angkatan Tentera Malaysia (ATM) hingga ke peringkat tertinggi.
Seri Paduka Baginda bertitah, segala perancangan yang dilaksanakan tidak akan sempurna jika amalan rasuah masih berleluasa.
Sultan Ibrahim bertitah menegaskan rasuah mesti diperangi secara besar-besaran dan rakyat perlu menjadi mata dan telinga dengan melaporkan sebarang salah laku.
Seri Paduka Baginda bertitah demikian pada Titah Diraja bersempena Istiadat Pembukaan Penggal Kelima Parlimen Ke-15 di Dewan Rakyat hari ini.


