Oleh Dr Haim Hilman
PENYATUAN bangsa Melayu bukan sekadar isu politik bermusim atau slogan menjelang pilihan raya. Ia adalah amanah sejarah, persoalan kelangsungan maruah bangsa dan masa depan Islam di tanah air sendiri. Hari ini, harapan untuk melihat orang Melayu benar-benar bersatu masih kelihatan jauh, namun jauh tidak bermakna mustahil.
Kebenaran mesti diungkap dengan jujur dan berani: penyatuan Melayu tidak akan tercapai selagi kepimpinan bangsa gagal meletakkan kepentingan agama dan umat mengatasi kepentingan peribadi, jawatan dan pengaruh. Penyatuan tidak lahir daripada retorik, tetapi daripada pengorbanan.

Sejarah membuktikan bahawa bangsa yang besar tidak dibina oleh pemimpin yang mempertahankan kerusi, tetapi oleh pemimpin yang sanggup kehilangan segalanya demi prinsip.
Namun realiti hari ini amat mendukacitakan. Tidak sedikit pemimpin Melayu yang masih berpegang pada jawatan walaupun jelas kehadiran mereka telah menjadi beban kepada parti, bangsa dan umat.
Lebih membimbangkan, wujud segelintir pemimpin yang terperangkap dalam ilusi kehebatan diri — satu sindrom yang membuatkan seseorang merasakan dirinya paling bijak dan paling layak, sedangkan hakikatnya gagal membaca realiti dan menilai kelemahan sendiri.
Pemimpin sebegini bukan sahaja sukar ditegur, malah dikelilingi oleh pengikut yang mengukuhkan kesilapan mereka dengan kesetiaan membuta tuli.
Di sinilah bermulanya kerosakan. Apabila kuasa menjadi tujuan, bukan amanah; apabila jawatan menjadi hak, bukan tanggungjawab; maka kepimpinan berubah menjadi alat mempertahankan kepentingan diri.
Kuasa membuka ruang kepada nepotisme, kronisme dan budaya melindungi kesalahan. Inilah titik di mana perjuangan berubah menjadi perniagaan, dan kepercayaan rakyat dikhianati secara perlahan.
Namun persoalan yang lebih besar ialah: mengapa keadaan ini dibiarkan berlarutan?
Jawapannya pahit, tetapi perlu diterima. Ada pemimpin yang terlalu licik bermain janji sehingga rakyat terpedaya. Ada rakyat yang terlalu lama dikurung oleh naratif lama hingga gagal melihat alternatif yang lebih bersih dan berwibawa. Dan ada insan baik dalam parti yang memilih untuk diam, takut kehilangan kedudukan atau disisihkan, lalu membiarkan kebatilan terus berakar.
Akibatnya, politik Melayu menjadi lesu. Rakyat hilang harapan, pemimpin hilang arah, dan penyatuan tinggal kenangan. Selagi kepimpinan utama parti-parti Melayu tidak berani berubah, usaha membina payung besar untuk mempertahankan kepentingan Melayu dan Islam akan terus rapuh, mudah runtuh dan tidak diyakini oleh generasi masa depan.
Namun sejarah tidak pernah ditentukan oleh keputusasaan, tetapi oleh keberanian untuk berubah. Perubahan itu tidak bermula di istana kuasa, tetapi bermula di hati setiap orang Melayu.
Setiap Melayu yang cintakan bangsanya mesti sedar bahawa tanggungjawab pertama ialah menggunakan hak sebagai pengundi. Tidak mengundi adalah menyerahkan masa depan bangsa kepada tangan orang lain. Setiap undi adalah amanah, dan setiap amanah akan dipersoalkan.
Parti-parti Melayu pula wajib bermuhasabah dengan jujur. Sudah tiba masanya keberanian menggantikan kesetiaan palsu. Calon-calon yang bersih, berintegriti, adil, berjiwa rakyat dan berpandangan jauh mesti diketengahkan, tanpa mengira usia atau kedudukan lama. Pemimpin bermasalah mesti direhatkan, bukan dipertahankan atas nama kesetiaan.
Orang Melayu juga mesti berani membuat pilihan yang strategik dan matang. Dalam keadaan politik semasa, penyatuan hanya boleh berlaku melalui satu kekuatan yang paling stabil dan konsisten memperjuangkan Islam dan Melayu. Ini tidak bermaksud kekuatan itu sempurna, tetapi ia masih menjadi wadah terbaik yang ada hari ini untuk membina masa depan bersama.
Perpecahan undi Melayu hanya menguntungkan pihak yang tidak berkepentingan menjaga agenda bangsa dan agama. Hakikat ini perlu diterima dengan jujur dan berjiwa besar.
Penyatuan Melayu bukan tanggungjawab seorang tokoh, satu parti atau satu generasi. Ia adalah tanggungjawab kolektif seluruh bangsa. Jika generasi hari ini gagal bersatu kerana terlalu cintakan ego dan kuasa, maka generasi akan datang akan mewarisi kelemahan yang kita cipta sendiri.
Jalan ke arah penyatuan mungkin berliku dan penuh cabaran, tetapi sejarah menunggu keberanian kita untuk melangkah. Bangsa Melayu tidak ketandusan potensi, yang kurang hanyalah kesediaan untuk berubah.
Jika hari ini orang Melayu memilih untuk bangkit bersama, maka esok sejarah akan mencatatkan bahawa bangsa ini pernah jatuh, tetapi bangkit dengan maruah, kebijaksanaan dan kesatuan.


