Oleh Penulis Khas
PELANTIKAN kepimpinan tertinggi tentera merupakan antara keputusan paling kritikal dalam sesebuah negara. Ia bukan sekadar urusan pentadbiran tetapi mekanisme strategik yang menentukan keseimbangan antara kuasa awam dan profesionalisme ketenteraan, kestabilan institusi pertahanan serta keutuhan demokrasi.
Sejarah global menunjukkan bahawa tentera yang dilantik melalui sistem profesional dan telus akan mempertahankan negara, manakala tentera yang dilantik berdasarkan pertimbangan politik akhirnya mempertahankan kepentingan politik itu sendiri.
Artikel ini menganalisis amalan pelantikan kepimpinan tentera di Malaysia dalam konteks perbandingan dengan United Kingdom, Australia dan India serta meneliti kegagalan negara-negara yang membenarkan campur tangan politik berlebihan seperti Pakistan, Bangladesh dan Zimbabwe.
Malaysia memiliki kerangka perlembagaan yang jelas. Yang di-Pertuan Agong ialah Pemerintah Tertinggi Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Perdana Menteri menasihati pelantikan dan Majlis Angkatan Tentera (MAT) berfungsi sebagai badan profesional dalaman.
Dari sudut teori struktur ini memadai. Namun, cabaran utama terletak pada pelaksanaan dan ketelusan. Tiada garis panduan awam mengenai kriteria pemilihan tiada justifikasi rasmi mengapa seseorang dipilih berbanding calon lain dan peranan sebenar MAT tidak pernah dijelaskan secara terbuka sama ada ia benar-benar menapis atau sekadar meluluskan cadangan eksekutif. Keadaan ini mewujudkan persepsi bahawa MAT berisiko menjadi rubber stamp.
Lebih membimbangkan Parlimen hampir tidak memainkan sebarang peranan. Tiada pengesahan tiada pendengaran tertutup dan tiada rekod akauntabiliti. Dalam konteks ini pelanjutan jawatan tanpa penjelasan awam bukan sahaja menjejaskan peluang kepimpinan baharu malah melemahkan sistem giliran profesional yang penting untuk kesegaran strategik dan moral organisasi.
Kesimpulan Malaysia, struktur wujud tetapi terlalu bergantung kepada keikhlasan eksekutif bukan sistem semak dan imbang yang kukuh.

United Kingdom. Model Komanwel dengan amalan matang.
United Kingdom menawarkan contoh klasik keseimbangan antara kuasa awam dan profesionalisme tentera. Pelantikan Chief of the Defence Staff (CDS) hanya daripada kalangan Ketua Perkhidmatan. Calon disaring oleh Ministry of Defence dan Defence Board sebelum Perdana Menteri melantik dan Raja meluluskan.
Ciri penting sistem ini ialah ketiadaan “orang luar”, ketiadaan pelanjutan sewenang-wenangnya, dan pemisahan jelas antara jawatan ketenteraan dan politik.
Parlimen mempunyai peranan terhad melalui pendengaran profesional bukan untuk mempolitikkan tetapi untuk memastikan kesesuaian. Hasilnya, moral tentera kekal tinggi operasi bersama mantap dan angkatan tentera tidak terheret ke krisis politik.

Australia: Model hampir ideal.
Australia sering dianggap sebagai antara model terbaik dalam dunia demokrasi. Chief of the Defence Force (CDF) dilantik daripada kalangan Panglima Perkhidmatan melalui penilaian merit dan integriti yang sangat ketat. Parlimen berfungsi sebagai semak imbang moral, bukan pentadbir operasi. Amalan penting di Australia ialah prinsip akauntabiliti mutlak.
Jika kepimpinan tentera kehilangan kepercayaan awam pengunduran adalah norma bukan pengecualian. Tiada kompromi terhadap integriti. Hasilnya, angkatan tentera dihormati rakyat hubungan awam–tentera stabil dan tiada krisis kesetiaan.
India: Besar dan kompleks tetapi terkawal.

India memperkenalkan jawatan Chief of Defence Staff (CDS) bagi menyelaras perkhidmatan yang besar dan kompleks. Walaupun struktur birokrasi kuat, tentera India kekal profesional dan tidak menjadi alat parti politik.
Pengajaran utama ialah birokrasi boleh kuat tanpa mempolitikkan tentera asalkan sempadan politik ketenteraan dijaga dengan tegas. Apabila politik menguasai tentera sebagai contoh kegagalan Pakistan ialah contoh klasik.
Panglima tentera dilantik berdasarkan kesetiaan politik bukan merit profesional membawa kepada rampasan kuasa berulang, penglibatan tentera dalam politik dan demokrasi yang lumpuh.
Bangladesh menunjukkan kesan politisasi dalaman di mana kenaikan pangkat berdasarkan kecenderungan politik mencetuskan pecahan kesetiaan, cubaan rampasan kuasa dan pembunuhan politik.
Zimbabwe pula menyaksikan panglima tentera menjadi pelindung politik. Jawatan ketenteraan dijadikan alat kekuasaan membawa kepada campur tangan politik terbuka, kejatuhan ekonomi dan kemusnahan reputasi angkatan tentera.
Kesimpulan Perbandingan
Negara yang mengekalkan sistem profesional seperti UK dan Australia menikmati kestabilan, kepercayaan awam dan tentera yang setia kepada negara. Negara yang membiarkan politik menguasai pelantikan tentera seperti Pakistan, Bangladesh dan Zimbabwe mengalami ketidakstabilan, krisis kesetiaan dan kegagalan institusi.
Kesimpulan yang paling jelas, tentera yang dipilih oleh politik akan mempertahankan politik. Tentera yang dipilih oleh sistem akan mempertahankan negara.
Bagi Malaysia, cabaran sebenar bukan mencipta struktur baharu tetapi memperkemaskan amalan sedia ada dengan ketelusan, akauntabiliti dan semak imbang yang berfungsiagar ATM kekal sebagai institusi profesional, berkecuali dan setia sepenuhnya kepada negara bukan mana-mana kuasa politik sementara.
*E-mel komen atau artikel anda kepada editor@utusanmelayuplus.com


