AKSI El Clásico antara Real Madrid dan Barcelona di Santiago Bernabeu berakhir dengan suasana tegang apabila polis terpaksa masuk ke padang bagi memisahkan pemain kedua-dua pasukan selepas kemenangan 2–1 berpihak kepada Real Madrid, awal pagi ini.
Perlawanan yang sejak awal lagi berlangsung dalam suasana panas bertukar kecoh sebaik wisel penamat dibunyikan. Beberapa pemain dan pegawai kedua-dua pasukan dilaporkan bertikam lidah, menolak dan menjerit antara satu sama lain — mengingatkan semula detik panas pertembungan tahun 2010.
Semuanya tercetus apabila Lamine Yamal menghulurkan tangan kepada Dani Carvajal, namun pemain Real Madrid itu membalas dengan sindiran bahawa pemain muda Barcelona itu “terlalu banyak bercakap.” Insiden kecil itu mencetuskan kekecohan besar di tengah padang.
Penjaga gol Thibaut Courtois turut dilihat menuju ke arah Yamal, dipercayai bagi menegur kenyataannya sebelum perlawanan. Keadaan bertambah panas apabila beberapa pemain dari kedua-dua pasukan mula tolak-menolak dan bertikam lidah.

Vinicius Junior, yang sudahpun marah selepas digantikan lebih awal, dilaporkan kembali ke padang selepas wisel penamat dan terus menuju ke arah kumpulan pemain yang bergaduh. Beberapa pegawai dan rakan sepasukan, termasuk jurulatih penjaga gol Llopis dan pemain muda Arda Güler, terpaksa menahannya daripada masuk ke terowong.
Pemain Barcelona, termasuk Raphinha dan Lamine Yamal, dikatakan turut mencabar Vinícius untuk “menyelesaikan” perkara itu di kawasan bilik persalinan. Situasi menjadi tidak terkawal seketika sebelum berjaya diredakan oleh pegawai keselamatan dan polis.
Menurut laporan pengadil Soto Grado, penjaga gol simpanan Real Madrid, Andriy Lunin, dibuang padang kerana meninggalkan kawasan teknikal untuk berdepan bangku lawan secara agresif. Kad kuning turut dilayangkan kepada beberapa pemain, termasuk Militao, Vinícius dan Rodrygo (Real Madrid), serta Fermín, Balde dan Ferran Torres (Barcelona).
Sementara itu, bapa kepada Lamine Yamal memuat naik gambar bersama anaknya dengan catatan: “Sampai mati pun kita satu geng.”
Real Madrid menutup malam dengan kemenangan penting yang mengekalkan kedudukan mereka di puncak La Liga. Namun, insiden pergaduhan di penghujung perlawanan mencemari detik bersejarah itu, sekaligus menjadi contoh buruk buat peminat muda bola sepak.
El Clásico kali ini bukan sahaja diingati kerana gol Mbappé dan Bellingham, tetapi juga kerana kekecohan pasca perlawanan yang bakal terpahat dalam sejarah bola sepak Sepanyol.


