PRESIDEN Amerika Syarikat (AS) Donald Trump berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 10.06 pagi ini selepas menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan Sidang Kemuncak Berkaitan Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC).
Dengan berlepasnya pesawat Air Force One sekali gus menandakan berakhir lawatan dua hari Trump ke Malaysia, kunjungan pertamanya ke Malaysia sejak kembali memegang jawatan pada awal tahun ini dan sebagai sebahagian siri lawatan ke beberapa negara Asia.
Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berada di KLIA untuk mengucapkan selamat jalan, lapor Bernama.
Terdahulu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, Saifuddin serta wakil Kedutaan Amerika Syarikat di Kuala Lumpur, termasuk Duta Amerika Syarikat ke Malaysia Edgard D Kagan dilihat berada di hotel penginapan Trump di ibu negara.
Di luar sidang kemuncak itu, Trump dan Anwar menyaksikan majlis menandatangani Perjanjian Damai KL antara Perdana Menteri Thailand Anutin Charnvirakul dan Perdana Menteri Kemboja Hun Manet, usaha ke arah menamatkan pertikaian antara kedua-dua negara jiran itu yang telah berlarutan selama beberapa dekad.


