Perjanjian Malaysia-AS: MITI akan teliti, runding semula jika ada tema bercanggah kepentingan negara- Johari

MENTERI Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) Johari Ghani berkata hari ini kementeriannya akan meneliti perjanjian perdagangan terkini yang ditandatangani Malaysia dengan Amerika Syarikat, dan akan mengusahakan rundingan semula sekiranya mana-mana terma didapati bercanggah dengan kepentingan negara.

“Kita tidak boleh menarik diri daripada apa yang telah dipersetujui. Namun kita mahu meneliti mana-mana bahagian perjanjian yang kita rasa tidak adil supaya ia boleh dirunding semula.’’ ,” katanya kepada pemberita selepas secara rasmi melapor diri buat pertama kali di kementerian itu hari ini.

Pengkritik perjanjian perdagangan yang ditandatangani Malaysia dengan Amerika Syarikat pada 26 Oktober lalu mendakwa ia akan menjejaskan kedaulatan ekonomi negara kerana memaksa Putrajaya mematuhi peraturan dan undang-undang Washington berkaitan perdagangan dan pelaburan.

Antara pihak yang menentang perjanjian tersebut ialah bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, yang mendakwa ia tidak berperlembagaan kerana bercanggah dengan beberapa peruntukan Perlembagaan Persekutuan berkaitan hak orang Melayu dan Bumiputera, serta kedudukan Raja-Raja Melayu dan kerajaan negeri.

Bagaimanapun, dakwaan itu ditolak oleh bekas Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Aziz, yang menegaskan bahawa hak Bumiputera kekal sebagai garis merah yang dipertahankan dalam rundingan sebelum perjanjian tersebut ditandatangani.

Perdana Menteri, Anwar Ibrahim, yang sebelum ini berkata Jabatan Peguam Negara telah dirujuk sebelum perjanjian itu dimeterai, menegaskan bahawa Malaysia boleh menamatkan perjanjian tersebut sekiranya perlu.

Johari berkata salah satu keutamaannya di kementerian itu ialah untuk merangsang ekonomi Malaysia melalui dasar perlindungan domestik, sambil menyatakan bahawa banyak negara maju turut mengambil langkah yang sama.

Ahli Parlimen Titiwangsa itu berkata walaupun Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara berkembang dengan ketara antara 2015 hingga 2024, pertumbuhan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dalam tempoh yang sama adalah agak sederhana.

“Dalam tempoh 10 tahun itu, sumbangan PKS kepada KDNK negara meningkat daripada 37% kepada 39%. Itu hanya peningkatan dua mata peratusan, dan perkara ini akan kita teliti,” katanya.

Johari juga berkata beliau akan memberi tumpuan awal untuk mengumpul maklum balas daripada kakitangan kementerian bagi menilai keadaan sebenar ekonomi.

“Saya tidak datang ke sini untuk mencipta ‘keajaiban’. Saya datang untuk mendapatkan maklum balas daripada kakitangan kementerian, dan kemudian kita akan memulakan diagnosis berdasarkan data statistik. Kemudian kita akan berkongsi hasilnya dengan Jemaah Menteri,” katanya.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img