PERDANA Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan konflik global yang masih berlarutan sebagai menguji keamanan sejagat.
Katanya, ketika derita rakyat Gaza belum selesai , kini dunia sekali lagi dikejutkan dengan ketegangan baharu iaitu serangan oleh Israel dan Amerika Syarikat (AS) ke atas Iran.
“Apa yang berlaku hari ini yang sangat mengganggu ketenangan saya iaitu masalah Gaza belum selesai. Kita makan tetapi ada yang masih kebuluran di sana. Terbeban lagi dengan keputusan Israel dengan sekutu AS menyerang Iran hari ini.
“Kalau belum kita dapat belajar erti perpaduan dan akhlak yang baik, saya tidak tahu apa lagi, jarang sekali dalam sejarah manusia begitu banyak tragedi yang menimpa umat yang terus berlaku di depan mata kita,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Berbuka Puasa Perdana Menteri bersama warga Kementerian Pendidikan (KPM) dan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) di Kompleks Seri Perdana hari ini.
Sementara itu beliau menegaskan, kerajaan masih mempunyai ruang mengawal dasar ekonomi domestik, termasuk memastikan suasana politik yang aman dan stabil bagi meningkatkan keyakinan pelabur.
Anwar berkata, memandangkan selain aspek keyakinan pelabur, kestabilan sedemikian turut mempengaruhi faktor penting lain.
Beliau turut menegaskan terdapat faktor yang berada dalam serta di luar kawalan kerajaan.
“Sebahagiannya di bawah kawalan kita dan sebahagiannya tidak. Contoh seperti harga barang…barang yang kita keluarkan di peringkat tempatan, harganya boleh dikawal. Kalau barang yang kita import seperti makanan haiwan, banyak yang diimport dari luar negara seperti Ukraine, Rusia dan Eropah.
“Tapi kini, dengan sekatan oleh Yemen dan Laut Merah, perjnaik dua kali ganda, maknanya harga pengangkutan bertambah dan harga barang naik. Itu isunya…sebab itu kita berdoa agar keamanan kembali dan krisis ini (berakhir) segera,” kata beliau.
Dalam pada itu, Perdana Menteri juga menggesa agar kalangan pegawai di semua kementerian sentiasa peka dan bertindak mengikuti perkembangan makroekonomi semasa bagi memastikan setiap keputusan dibuat tidak menjejaskan pihak berkepentingan seperti rakyat.
Beliau berkata ini memandangkan pemahaman mengenai perkembangan ekonomi amat penting berikutan setiap dasar dan perbelanjaan mempunyai implikasi tersendiri, termasuk terhadap defisit negara serta percukaian.
“Saya minta pegawai kanan juga ikuti perkembangan makroekonomi supaya apabila ada perkara yang dituntut, mereka tahu kesannya. Ini soal mengurus ekonomi.
“Perkembangan ekonomi itu untuk kita faham. Kalau kita beri sahaja (semua perkara yang dituntut) tanpa melihat kesannya kepada defisit, maknanya cukai terpaksa dinaikkan. Apabila kena cukai, orang akan marah,” kata Anwar.


