Polis Negeri Sembilan `sekat’ lebuh raya banteras aktiviti lumba haram

SETIAP kali malam minggu, lebuh raya di sekitar Seremban, Negeri Sembilan sering menjadi tumpuan anak-anak muda menunggang motosikal menyertai kegiatan lumba haram yang boleh membahayakan bukan sahaja nyawa mereka sendiri malah pengguna kenderaan lain.

Antara lokasi tumpuan golongan berkenaan adalah di Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) bermula dari Senawang hingga ke Nilai serta Lebuhraya Seremban-Port Dickson.

Peka dengan aduan orang ramai menyebabkan Polis Kontinjen Negeri Sembilan mengadakan operasi besar-besaran di kedua-dua laluan itu sempena malam minggu, malam tadi.

Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Alzafny Ahmad berkata, Op Bersepadu Samseng Jalanan itu dilaksana di Lebuhraya Seremban-Port Dickson (SPDH) dan Kilometer 263 PLUS arah utara.

“Operasi bermula 11 malam itu sejajar dengan arahan pucuk pimpinan bagi membendung kegiatan samseng jalanan, sekali gus mencegah kemalangan jalan raya yang semakin meningkat.

“Operasi membabitkan lima pegawai kanan dan 40 anggota Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Daerah (BSPTD) Seremban, Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kontinjen Negeri Sembilan serta JSPT Bukit Aman, selain turut mendapat kerjasama PLUS,” katanya hari ini.

Alzafny berkata, sebanyak 114 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan trafik, dan pemeriksaan mendapati ada motosikal yang diubah suai untuk kegiatan lumba haram.

“Sebanyak tujuh motosikal telah disita dan empat lelaki berjaya ditahan kerana melakukan aksi dengan cara meluruskan kaki ke belakang (superman) dan bersaing sesama sendiri, yang mana perbuatan itu boleh membahayakan diri sendiri serta pengguna jalan raya lain, ” katanya.

Menurut Alzafny, kes ini disiasat mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 bagi aktiviti samseng jalanan, manakala tindakan sita kenderaan pula di bawah Seksyen 64(1) akta sama.

Difahamkan, antara kaedah yang digunakan oleh polis dengan kerjasama PLUS dalam operasi malam tadi adalah `pukat’ kenderaan menggunakan kenderaan safety vehicle iaitu sekatan menggunakan lori satu tan dari tol Senawang menghala ke Bandar Ainsdale.

 

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img