POLIS Negeri Sembilan hari ini mengesahkan lelaki yang dibunuh berhampiran sebuah restoran di Nusari Biz Sendayan dekat Seremban malam tadi memiliki 42 rekod jenayah atas pelbagai kesalahan.
Mangsa yang berusia 33 tahun itu ditetak dan ditembak oleh sekumpulan individu bersenjatakan pistol dan parang dikenal pasti terlibat dalam pelbagai kesalahan jenayah termasuk samun, mendatangkan kecederaan dan pecah rumah.
Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Alzafny Ahmad berkata, mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pasukan perubatan. Pemeriksaan awal terhadap tubuh mangsa mendapati terdapat kesan tetakan dan tembakan.
Beliau berkata, siasatan awal mendapati mangsa datang ke restoran berhampiran tempat kejadian bersama keluarga untuk makan malam.
“Ketika menuju ke kenderaan, beberapa kereta yang dinaiki enam suspek dipercayai lelaki memakai pelitup muka menghalang kereta mangsa sebelum menyerangnya.
“Mangsa cuba melarikan diri ke arah jalan raya, namun suspek terus mengejar dan melepaskan tembakan serta menyerang menggunakan parang sehingga dia mengalami kecederaan parah,” katanya dalam kenyataan hari ini, lapor Bernama.
Dalam kejadian malam tadi, seorang lelaki yang dikatakan sedang makan di sebuah restoran maut selepas diserang dan ditembak sekumpulan individu menaiki kereta berhampiran sebuah restoran di Nusari Biz Sendayan.
Dalam kejadian kira-kira jam 11.15 malam itu, mangsa yang sedang makan tiba-tiba dilihat berlari ke seberang jalan dan orang awam turut mendengar bunyi tembakan sebelum mangsa rebah.
Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Azahar Abdul Rahman dilaporkan berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan daripada seorang lelaki memaklumkan insiden tembakan dan serangan menggunakan senjata tajam di kawasan tersebut pada 11.23 malam.
Beliau berkata mayat mangsa dihantar ke Hospital Rembau untuk bedah siasat dan motif kejadian masih dalam siasatan.
Alzafny dalam pada itu berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan Seksyen 3 Akta Senjata Api (penalti lebih berat) 1971, dan polis kini giat memburu semua suspek serta mengesan kenderaan dipercayai terlibat dalam kejadian itu.
“Orang awam yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi hotline Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seremban di talian 06-603 3222 bagi membantu siasatan,” katanya.


