Polis sedang menyiasat dakwaan objek tajam ditabur di Jalan Chaah–Labis, Segamat selepas tular video di media sosial yang mendakwa beberapa kenderaan rosak akibat kejadian berkenaan.
Ketua Polis Daerah Segamat, Superintendan Mohd Jumazanzahir Check Ismail berkata, siasatan dijalankan selepas polis terkesan satu video tular di media sosial sejak semalam.
Beliau berkata, hasil pemantauan dan rondaan pihaknya mendapati tayar kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Avanza pecah di Kilometer 141.5, Jalan Johor Bahru-Seremban.
“Bagaimanapun, sehingga kini Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Segamat masih belum menerima sebarang maklumat mahupun laporan polis daripada mangsa mengenai kejadian ditularkan.
“Walau bagaimanapun, polis tetap membuat rondaan dan risikan untuk mengesan kejadian dinyatakan dalam media sosial,” katanya.
Justeru, Mohd Jumazanzahir meminta mangsa kejadian tampil membuat laporan dan oerang ramai mempunyai maklumat diminta berhubung dengan balai trafik IPD Segamat di talian 07-9325811.
Terdahulu, tular satu video serta hantaran di Facebook yang meminta pengguna Jalan Chaah-Labis lebih berhati-hati terutama di kawasan dari kubur Cina hingga persimpangan masuk FELDA Maokil.
Ini kerana, mereka mendakwa terdapat individu tidak bertanggungjawab menabur objek tajam di atas jalan, menyebabkan beberapa kenderaan tayar meletup dan terbabas sejak malam semalam.


