SEBANYAK 77 penerima diraikan dalam majlis sumbangan kepada asnaf sempena program RCB Peduli Asnaf yang diadakan di Dewan Orang Ramai di Kampung Katong di Arau, Perlis semalam.
Rural Capital Berhad (RCB) adalah syarikat subsidiari milik penuh Mara Corporation yang beroperasi sejak 2013 untuk mengurus pembiayaan dan kutipan kredit pinjaman di bawah Majlis Amanah Rakyat (Mara).
Program ini dianjurkan bersama Pertubuhan Peneraju Insan Perlis bertujuan untuk menyantuni asnaf pada bulan Ramadhan ini dan RCB turut menyalurkan sumbangan berupa barangan keperluan asas dan wang tunai keluarga asnaf di sekitar kawasan tersebut.

Ketua Pegawai Eksekutif RCB, Hiruddin Hashim berkata, program penyampaian bantuan dan sumbangan ini merupakan salah satu aktiviti tahunan syarikat bagi membantu mereka yang memerlukan.
“Selain golongan asnaf dan fakir miskin, RCB juga menyampaikan bantuan kepada penduduk Kampung Katong yang terdiri daripada ibu tunggal, anak yatim, warga emas dan orang kurang upaya (OKU).
“RCB dan Pertubuhan Peneraju Insan Perlis juga turut menziarahi asnaf yang sakit dan terlantar di rumah untuk menyalurkan sumbangan tersebut,” katanya.


