SEBUAH rumah dan sebuah kereta rosak teruk dalam kebakaran yang berlaku sejurus waktu berbuka puasa pada hari pertama Ramadan di Kuarters Guru Sekolah Menengah Kebangsaan Tunku Putra, Padang Matsirat, di Langkawi malam tadi.
Bagaimanapun dalam kejadian 7.45 malam itu tiada kemalangan jiwa dilaporkan.
Ketua Zon 4 Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Langkawi, Penguasa Bomba Mohd Zamri Abd Ghani berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kebakaran itu pada jam 7.52 malam.
“Jentera pertama dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Padang Matsirat tiba di lokasi kira-kira tiga minit selepas panggilan diterima.
“Operasi pemadaman membabitkan anggota BBP Padang Matsirat dengan bantuan BBP Langkawi,” katanya dalam kenyataan malam tadi.
Mohd Zamri berkata, kebakaran membabitkan sebuah unit kuarters guru berkembar kelas A setingkat berkeluasan 324 meter persegi dengan anggaran kemusnahan kira-kira 20 peratus.
“Turut terjejas sebuah kenderaan jenis Volkswagen Polo yang mengalami kemusnahan hampir 90 peratus.
“Bagaimanapun, kejadian tidak membabitkan sebarang mangsa. Api berjaya dikawal pada jam 8.17 malam sebelum kerja-kerja overhaul dijalankan bagi memastikan tiada lagi punca api dan sumber nyalaan di lokasi kejadian.
“Operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 10.01 malam. Punca kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam siasatan,” katanya.


