Presiden Puspahanas fail 18 tuntutan saman terhadap Chegubard

PRESIDEN Pusat Pengajian Pertahanan Nasional (Puspahanas), Laksamana Madya Datuk Sabri Zali memfailkan 18 tuntutan saman terhadap aktivis politik, Badrul Hisham Shaharin atau lebih dikenali sebagai Chegubard di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, hari ini.

Peguam yang juga jurucakap Sabri, Muhammad Firdaus Jumaluddin berkata, tuntutan itu dibuat kerana tiada maklum balas daripada pihak Chegubard untuk menurunkan segala penyataan fitnah yang dibuat serta kenyataan berkenaan adalah tidak benar, mengelirukan dan berbaur fitnah.

BADRUL Hisham Shaharin

“Secara keseluruhannya perkara ini telah menyebabkan kerosakan reputasi serius yang tidak boleh dipulihkan melalui penjelasan semata-mata.

“Kami ingin menegaskan sepanjang penyataan fitnah ini dibuat dan ditambah dengan tohmahan liar di ruangan komen, Laksamana Madya sebagai seorang penjawat awam dan pegawai kanan tentera terikat dengan tata cara serta kelulusan rasmi sebelum membuat sebarang kenyataan awam,” katanya pada sidang media di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, hari ini.

Bagaimanapun, Sabri tidak hadir kerana dikatakan mempunyai urusan penting.

Muhammad Firdaus berkata, untuk rekod, Sabri tidak pernah didakwa, disabitkan atau didapati bersalah atas sebarang kes rasuah dan penyalahgunaan kuasa atau salah laku seperti yang dinyatakan oleh defendan dalam kes itu.

Dakwaan yang tidak benar atau terbukti boleh memesongkan persepsi orang ramai terhadap sumbangan beliau sebagai seorang pegawai tentera kanan.

Oleh yang demikian Muhammad Firdaus berkata, pihaknya meminta supaya semua pihak yang berkaitan memberi ruang kepada proses kehakiman dan menghentikan penyebaran dakwaan ini.

“Kami serahkan kepada sistem perundangan untuk proses selanjutnya,” katanya.

Ditanya berkenaan nilai tuntutan, Muhammad Firdaus berkata, nilai itu akan ditentukan pada sebutan kes yang dijangkakan pada bulan hadapan.

Pada Disember lalu, Chegubard mendakwa Sabri terbabit rasuah dengan mendedahkan satu set dokumen yang dikatakan merangkumi kertas siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang diterima oleh pertubuhan Pembela Tanah Air (Peta) pada Mei 2024.

 

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img