SEORANG bekas pegawai Majlis Amanah Rakyat (Mara) yang baru didakwa atas 25 pertuduhan pecah amanah kelmarin, sekali lagi dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Muar hari ini atas 22 pertuduhan baharu juga berkait pecah amanah.
Tertuduh, Nor Hasmal Hazwani Mohd Kamal, 40, mengaku tidak bersalah atas kesemua 22 pertuduhan yang dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Mohd Khairi Haron.
Mengikut semua pertuduhan, wanita itu didakwa melakukan pecah amanah melibatkan wang bayaran balik pinjaman berjumlah RM29,601.53 yang didepositkan oleh dua peminjam wanita berusia 32 dan 55 tahun.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di Pejabat Mara Daerah Tangkak antara 4 Oktober 2022 hingga 8 Oktober 2024.
Sehubungan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 406 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun dan denda bagi setiap pertuduhan, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Diyana Najihah Muhamed Fauzi, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Terdahulu, pihak pendakwaan mencadangkan jaminan RM10,000 bagi setiap pertuduhan, selain beberapa syarat tambahan terhadap tertuduh.
Bagaimanapun, mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM19,000 bagi semua pertuduhan, dan tertuduh turut diarahkan melaporkan diri di balai polis berhampiran pada hari Isnin pertama setiap bulan.
Kes akan disebut semula pada 8 April ini bagi tujuan penyerahan dokumen dan pelantikan peguam.
Kelmarin di mahkamah yang sama, Nor Hasmal Hazwani mengaku tidak bersalah atas 25 pertuduhan pecah amanah jenayah melibatkan wang berjumlah RM15,839.66 milik empat individu berkaitan pembayaran pinjaman Mara.
Dia didakwa melakukan pecah amanah ke atas wang yang didepositkan ke dalam akaun miliknya bagi tujuan pembayaran pinjaman Mara di bawah beberapa skim pembiayaan, sebelum menyalahgunakan wang berkenaan untuk kegunaan sendiri.
Hakim Mohd Khairi membenarkan Nor Hasmal Hazwani diikat jamin sebanyak RM22,000 bagi kesemua pertuduhan dengan seorang penjamin serta syarat tambahan seperti dipohon pihak pendakwaan dan menetapkan 8 April ini untuk sebutan semula 25 kes tersebut.


