APABILA Ahli Parlimen Padang Serai Azman Nasrudin disahkan akan didakwa berkaitan projek fidlot maka ‘bertepuklah’ pihak tertentu.
Selain melihat ia antara peluang untuk terus memburukkan Perikatan Nasional (PN) namun yang lebih penting dapat mengaitkan ia dengan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor.
Namun hari ini ‘impian mereka terkubur’ apabila Sanusi dengan tenang menegaskan Projek Usahasama Ternakan Lembu Pedaging Secara Fidlot yang dilaksana pada 2020 adalah di luar bidang kuasa beliau.
Sebaliknya pada sidang media di Alor Setar, Sanusi menjelaskan projek tersebut dirancang ketika Kedah di bawah pimpinan Datuk Seri Mukhriz Mahathir sebagai Menteri Besar ketika itu.
Beliau turut memberitahu, Azman adalah seorang daripada Ahli Majlis Kerajaan Negeri (EXCO) ketika itu.
“Saya tak tahu, (kejadian) itu zaman sebelum saya jadi Menteri Besar… sebelum tahun 2020. Saya tak tahu kejadian dan peristiwa itu, saya pun tak pasti dan tengok surat khabar sahaja.
”Tapi yang bagi (rasuah) orang lain, yang ambil orang lain, yang kena orang lain. Itu pelik juga, dia (Azman) pun ada buat sidang media terangkan pendakwaan bermotif politik,” katanya.
Sanusi berkata, projek Fidlot itu sepatutnya di bawah kendalian Kedah Agro Holding Berhad (KAHB).
Bagaimanapun, katanya, operasi KAHB ditutup tahun lalu dan syarikat berkenaan diambil alih pihak swasta tanpa pembabitan kerajaan negeri ketika ini.
“Kedah Agro sudah ditutup. Bila tutup makna tak ada aktiviti, tutup buku. Kedah Agro tutup apabila kita buat Skim Pemisahan Sukarela (VSS) dan hentikan operasi.
“Sekarang ada syarikat swasta ambil alih Kedah Agro. Ini kes lama sebelum 2020, Menteri Besar orang lain, EXCO pun orang lain. Beliau (Azman) salah seorang EXCO pada masa itu,” katanya.
Semalam, Azman dan ahli perniagaan, Amar Assuat Abu Bakar, didakwa atas pertuduhan rasuah berhubung projek berkenaan di Ladang Fidlot Kedah Agro.
Mengikut pertuduhan, Azman didakwa bersubahat dengan Amar Assuat untuk menerima RM400,000 daripada seorang individu sebagai dorongan mendapatkan projek ternakan lembu itu daripada Kedah Agro Holding Berhad pada 23 Jun 2020 di Bandar Baru Bangi.
Azman bagaimanapun mengaku tidak bersalah.


